FIC: Siasatan SPRM Percepatkan Proses Pembersihan Felda – Shahrir

BANGI – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes pembelian hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) membantu mempercepatkan proses pembersihan dan pembaharuan dalam pengukuhan integriti dan tadbir urus Felda, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata pihaknya terbuka dan sedia memberi kerjasama penuh dalam kes anak syarikat Felda berkenaan tanpa mengira jawatan individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Terpulang kepada SPRM siapa sahaja hendak dipanggil dan kita menggalakkan supaya penyiasatan terhadap FIC atau Felda diilakukan secara menyeluruh,? katanya mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Azam Baki semalam bahawa seorang individu penting akan dipanggil selewat-lewatnya minggu depan berhubung siasatan kes pembelian dua hotel itu.

Setakat ini, sembilan individu sudah ditahan reman manakala lebih 30 saksi dipanggil berhubung isu pembelian kedua-dua hotel itu.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Lake Cempaka Villa, venue baharu penganjuran acara milik Felda D’Saji di sini hari ini, Shahrir berkata beliau bertekad untuk memastikan Felda diurus tadbir dengan integriti yang tinggi dan fokus kepada kebajikan peneroka. – BERNAMA

Leave a Reply