Kemajuan FELDA Yang Tercapai Menggalakkan – Tan Sri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR – Mantan Arkitek dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali mengakui kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh FELDA pada hari ini sangat menggalakkan berbanding dahulu.

Kesan dari kemajuan yang dibuat oleh FELDA telah memberi manfaat kepada semua warga peneroka khususnya anak-anak peneroka yang memperolehi pelajaran dan kepakaran yang tinggi.

Malah, perubahan kemajuan tersebut juga kata beliau telah membentuk warga peneroka dan anak-anak peneroka hari ini menjadi lebih berdikari dan mampu bersaing dengan pihak-pihak lain hingga membuahkan kejayaan besar.

“Saya tengok, kemajuan yang tercapai sangat menggalakkan dan ramai anak-anak peneroka sekarang ini berpelajaran tinggi, mempunyai kepakaran tinggi dan kebolehan, kemajuan untuk berdikari dan bertanding dengan pihak-pihak yang lain yang telah mendapat kejayaan yang besar,” kata Raja Muhammad Alias.

Menyingkap sejarah awal penubuhan FELDA, nilai berdikari itu telah wujud dahulu lagi memandangkan tidak banyak kemudahan, prasarana dan komunikasi yang boleh diguna pakai.

Justeru itu, keadaan tersebut telah menggalakkan warga peneroka dan petugas FELDA menjadi berdikari untuk terus berusaha mencapai kemajuan demi negara.

“Pada masa itu, kawasan semuanya terpencil. Prasarana boleh dikatakan tak ada, komunikasi susah. Kalau kita (petugas FELDA) keluar bertugas 3 ke 4 hari, kita tak dapat berhubung dengan keluarga dan pejabat.

“Jadi, we were forced to be more independent. Berdikari, bersedia menghadapi cabaran di mana-mana kita berada tanpa sokongan dari pihak lain kerana mereka itu jauh dari tempat bertugas. Itu adalah satu kenangan manis kepada saya,” cerita beliau.

Walaupun berdepan dengan cabaran dan kesukaran dalam membangunkan tanah rancangan FELDA, kata beliau lagi, keadaan tersebut telah memberikan kepuasan yang bermakna kepada semua pihak hingga membentuk masyarakat FELDA yang ada pada hari ini.

“Itu menjadi, memberi satu keputusan yang besar kepada mereka yang telah bertugas, melibatkan diri, membentuk masyarakat yang kita dapat pada masa itu kepada masyarakat yang ada pada hari ini. Tapi, orang yang sama, keluarga yang sama, jadi perubahan itu sangat remarkable,” katanya.

Beliau berharap agar pemimpin sekarang atau di masa hadapan akan terus memberi tumpuan membangunkan lagi FELDA dengan disertakan nilai jujur dalam pentadbiran yang bersih dan baik.

“Saya berharap dan berdia pemimpin sekarang dan mungkin pada masa hadapan akan terus memberi tumpuan memimpin masyarakat FELDA atau warganegara FELDA untuk maju ke hadapan/

“Saya percaya, mereka mempunyai kemampuan untuk maju ke hadapan dan memberi khidmat yang lebih baik kepada negara kita, masyarakat kita dan warganegara kita. Tapi yang mustahak, kita mesti jujur menentukan pentadbiran yang baik dan bersih. Itu menentukan kejayaan kita pada masa hadapan,” tambah beliau.

Tan Sri Raja Muhammad Alias telah mula berkhidmat dalam FELDA pada 1 Mei 1970 sehingga 30 April 1979.

Tahun 2014, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Koperasi kerana menubuhkan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd pada tahun 80-an hingga mendapat sokongan yang baik dari para peneroka dan berkembang maju.

 

Leave a Reply