Kenderaan Diparkir Dekat Lokasi Sukan SEA Ditunda Mulai Hari Ini

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini kenderaan orang ramai yang diparkir berhampiran jalan-jalan yang terlibat dengan acara temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan ditunda oleh polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tindakan itu yang akan dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, adalah bagi mengelakkan kesesakan jalan yang teruk di 20 venue acara sukan sepanjang temasya itu, yang dijadual berlangsung mulai 19 Ogos.

“Pengguna jalan raya tidak digalakkan menaiki kenderaan persendirian untuk ke tempat-tempat acara Sukan SEA ke-29 sebaliknya mereka digalakkan mengguna pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain.

Amar Singh berkata kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan acara itu akan ditunda ke subtek berdekatan sebelum dibawa ke stor barang kes Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

Pemilik kenderaan yang ditunda, katanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM300, dicaj sebanyak RM50 sehari untuk bayaran parkir selain bayaran upah tunda sebanyak RM100 mengikut undang-undang.

“Sekiranya pemilik kenderaan tidak membuat tuntutan, kenderaan itu akan dilelong,” katanya.

Penutupan atau lencongan jalan, katanya hanya dilakukan di KL Sports City iaitu dari Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar bermula 14 Ogos, seawal pukul 6 pagi hingga acara selesai dan tiada sebarang penutupan jalan yang dilakukan secara tetap di venue lain.

Amar Singh berkata kesesakan lalu lintas juga dijangka berlaku di laluan menghala ke tempat-tempat acara sukan dan penginapan atlet.

“Sehubungan itu, JSPT dengan kekuatan seramai 1,098 petugas akan membuat pemantauan dan mengawal aliran trafik dengan melakukan lencongan atau penutupan sementara di jalan-jalan terlibat,” katanya.

Para atlet akan diiring oleh motosikal dan kereta polis trafik untuk perjalanan pergi dan balik dari tempat penginapan ke venue dan sebaliknya, katanya sambil meminta orang ramai memberi laluan kepada kenderaan polis dan atlet.

Amar Singh berkata anggota JSPT akan diletakkan di sepanjang 10 laluan hotel-hotel penginapan atlet yang dikenal pasti sebagai laluan khas iaitu Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Raja Chulan, Jalan Pinang, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya KL-Seremban dan Lebuhraya Persekutuan.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat di spad.gov.my untuk maklumat kemudahan pengangkutan awam sepanjang temasya itu berlangsung.

KL2017 secara rasminya bermula pada 19 Ogos ini dan berakhir pada 30 Ogos. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.