Asing Gelas Tidak Ikut Pekeliling – Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – Tindakan pentadbir sebuah sekolah rendah yang mengasingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam dilihat tidak bertepatan serta bersesuaian dengan peraturan dan pekeliling Kementerian Pendidikan sedia ada.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebaliknya pentadbir sekolah harus berperanan sebagai agen pemurnian dalam mewujudkan perpaduan dan menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum.

“Semua jenis peraturan dan pekeliling urusan sekolah telah tertakluk pada pekeliling kementerian sedia ada, jadi pentadbir sekolah tidak boleh buat sesuatu perkara lebih dari apa yang telah ditetapkan.

“Mereka (pentadbir sekolah) tidak boleh buat peraturan sendiri sebaliknya perlu merujuk dengan pihak kementerian dahulu jika hendak melakukan sesuatu,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap hari ini.

Beliau diminta mengulas isu dasar mengasingkan gelas minuman pelajar Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor seperti yang dilapor sebuah portal media semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.