Musa Hitam Nasihat Anak FELDA Jangan Marah Direndahkan Oleh Masyarakat

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menasihati anak-anak FELDA agar tidak mudah berasa marah apabila direndahkan oleh masyarakat.

Tanggapan anak FELDA itu rendah tidak perlu dilayan, sebaliknya kata Musa Hitam, anak-anak FELDA seharusnya berasa bangga menjadi anak FELDA.

Ini kerana tambah beliau, anak-anak FELDA masa kini sudah mempunyai taraf kehidupan dan bakat diri yang lebih maju berbanding di awal penubuhan FELDA.

“Saya nak ingatkan pada warga FELDA jangan sekali-kali terasa marah bila orang kata, perception ‘anak FELDA’ itu rendah, jangan. Setiap anak FELDA mesti bangga ‘aku anak FELDA’.

“Saya mahu masyarakat tahu anak FELDA itu, kita boleh ambil bekerja, anak FELDA bagus kerana kehidupan sudah teratur dan disiplin,” kata Musa Hitam.

Beliau sendiri berpendapat berasa bangga dengan kemajuan dan kejayaan FELDA.

FELDA adalah satu institusi yang besar yang telah ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan kerajaan satu ketika dahulu kerana sedar begitu ramai rakyat di negara ini yang hidup dalam keadaan susah.

“Kepada saya, huruf FELDA itu membawa perasaan yang sangat-sangat bangga, perasaan yang saya tak boleh gambarkan.

“Sebab FELDA satu institusi yang telah ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak. Apa yang penting kita ingat ditubuhkan oleh beliau dan kerajaan waktu itu oleh sebab kerajaan benar-benar insaf dan sedar begitu ramai rakyat jelata khususnys di luar bandar yang kehidupannya begitu terbiar,” katanya.

Musa Hitam berharap agar pemimpin FELDA masa kini harus sedar tanggungjawab menerajui FELDA adalah berbeza dengan tanggungjawab lain dan mestilah mengetepikan kepentingan sendiri demi kepentingan komuniti FELDA.

“Harapan saya senang, siapa juga memimpin FELDA haruslah insaf, sedar bahawa tanggungjawab itu berbeza dengan tanggungjawab aktiviti-aktiviti lain.

“Saya harap mereka yang memimpin FELDA juga janganlah lupa akan tugas dan tanggungjawab ini hingga khayal dengan kepentingan sendiri walhal kepentingan FELDA sebagai satu komuniti yang sangat memerlukan pentadbiran amanah, cekap dan sebagainya.

“Kalau kita tak berasa bertanggungjawab kepada mereka, apa jadi dengan mereka,” nasihat Musa Hitam.

Leave a Reply