Polis Terima Laporan Kumpulan Pelajar Bergaduh

KOTA KINABALU: Polis sudah mengambil keterangan seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Kolombong, Inanam, di sini, berhubung kes pergaduhan pelajar sekolah itu yang rakamannya tersebar di laman sosial semalam.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata guru terbabit tampil membuat laporan polis berhubung video itu petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan guru terbabit, pergaduhan itu berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari Rabu lalu di Padang Taman Bayumas, Kota Kinabalu.

“Pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan pelajar dari sekolah yang sama. Pada awalnya hanya dua orang pelajar yang bergaduh sebelum rakan mereka yang lain turut masuk campur.

“Berdasarkan maklumat pengadu, kejadian itu bukan kali pertama sebaliknya ia adalah rentetan daripada pergaduhan pada hari sebelumnya iaitu pada 8 Ogos 2017 di tempat yang sama. Namun, pergaduhan itu tidak tular di media sosial.

“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada perbuatan beradu kekuatan diri masing-masing. Pihak sekolah sedia memberi kerjasama dengan polis bagi membantu siasatan dan kita masih menyiasat kes ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihak sekolah juga sudah mengenal pasti tiga pelajar yang memulakan pergaduhan itu, masing-masing dua pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Tiga.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 51 saat itu, dua remaja lelaki masing-masing dipercayai memakai baju sukan sekolah bergaduh sebelum disertai beberapa pelajar lain.

Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply