Jadi Gelandangan Selepas Ditipu Rakan Sekampung

KOTA KINABALU: Sudahlah pekerjaan diharap tidak diperoleh, malang berganda menimpa seorang warga tua apabila ditinggalkan rakannya sehingga menjadi gelandangan dan tidur di hentian bas.

Selepas seminggu terbiar, Andiri Ewoh, 68, diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Bersepadu Membanteras Aktiviti Gelandangan dan Kutu Rayau di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Warga tua berasal dari Ranau itu antara 35 gelandangan dan kutu rayau diselamatkan dalam operasi disertai 109 anggota daripada pelbagai agensi iaitu JKM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Menceritakan kisah mula terkandas di bandar raya ini seterusnya menjadi gelandangan, Andirita datang ke bandar raya ini bersama rakan sekampung kira-kira seminggu lalu untuk mencari pekerjaan.

“Dia berjanji mahu mendapatkan saya kerja sebagai pengawal keselamatan, namun apabila tiba di syarikat dimaksudkan, mereka kata saya tak boleh diterima bekerja atas faktor usia.

“Selepas gagal dapat kerja, saya beritahu rakan mahu pulang ke kampung tetapi dia tinggalkan saya berseorangan di sebuah perhentian bas di Jalan Gaya.

“Dia pinjam telefon bimbit saya dan minta saya tunggu di perhentian bas itu sementara membuat panggilan, namun dia tak muncul selepas itu,” katanya yang mengaku sudah tiga malam tidur di perhentian bas berkenaan kerana tiada wang, selain tiada ahli keluarga di sini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Roslan Baba, berkata pihaknya sentiasa melaksanakan operasi seperti itu bagi menyelamatkan gelandangan dan kutu rayau, seterusnya membantu mereka melalui kehidupan lebih baik.

“Secara keseluruhannya masalah gelandangan dan kutu rayau di negeri ini masih terkawal, namun hampir 90 peratus adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Bagi gelandangan warga tempatan yang diselamatkan dan tidak dituntut keluarga, kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk tahan mereka selama 30 hari bagi penyediaan laporan sosial, selain cuba kenal pasti keluarga masing-masing.

“Sekiranya tiada waris, barulah kita mendapatkan perintah mahkamah untuk mereka dimasukkan ke pusat pemulihan Desa Bina Diri selama tiga tahun,” katanya.

Antara lokasi utama disasarkan sepanjang operasi itu ialah Segama, Api-Api Centre, Jalan Gaya, Bandaran Berjaya, Sinsuran, Asia City, Padang Merdeka dan Australian Place. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.