Betis Budak Melecur Kena ‘Gam Tiga Saat’

KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha pelamin tidak menyangka gam RM2 yang dibelinya mengakibatkan betis anaknya berusia tiga tahun melecur sehingga terpaksa menjalani pembedahan kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam pada Jumaat lalu, Nur Hasya Yusra Shahrul Izuan, mengalami lecur teruk selepas gam ‘3 Second OK’ itu terkena seluar yang dipakainya, sebelum melekat di betis kirinya.

Kejadian itu menjadi viral di Facebook selepas ibu kanak-kanak itu, Farhah Nuar, 27, memuatnaik status di Facebook semalam.

Farhah dari Paka, Dungun berkata dia membeli gam itu untuk membaiki peralatan pelamin dan menyiapkan barang hartanah perkahwinan.

“Selepas selesai menyiapkan kerja, saya segera menyimpan gam itu, tetapi tidak menyangka Nur Hasya ternampak dan mengambilnya. Saya kemudian dikejutkan dengan jeritan anak selepas terkena gam di bahagian pergelangan tangannya.

“Saya dan suami segera mengambil anak dan membasuh tangannya dengan air laju. Dalam keadaan anak yang sudah basah, saya pun terus menanggalkan pakaiannya.

“Malangnya ketika ingin membuka seluar yang dipakainya, saya dapati ia sudah melekat pada bahagian betis kirinya,” katanya kepada BH di sini.

Farhah berkata, dia dan suami kemudian terus membawa anaknya ke klinik swasta, namun keadaan luka yang teruk menyebabkan pihak klinik meminta mereka membawa anak keduanya itu ke hospital.

“Pada mulanya, Nur Hasya mendapatkan rawatan di Hospital Dungun tetapi kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bertemu pakar kulit kerana bimbang bahan kimia yang terdapat pada gam itu akan merebak sekiranya tidak dibedah.

“Anak saya menjalani pembedahan di HSNZ dan doktor perlu membuang isi dan kulit yang terkena gam itu hingga paras lemak kerana bimbang bahan kimia yang tertinggal boleh mengakibatkan kaki anak saya semakin teruk.

“Alhamdulillah, selepas beberapa hari menjalani pembedahan, kaki anak saya semakin pulih,” katanya.

Farhah berkata, dia trauma untuk menggunakan gam itu lagi dan meminta orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya berhati-hati dan tidak membeli barangan yang boleh membahayakan anak-anak mereka.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu mendapat perhatian ramai, malah ada juga yang berkongsi pernah mengalami kejadian sama di ruangan komen statusnya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.