Ikan Asing Larangan Import Akan Dipasang Cip

GEORGE TOWN – Jabatan Pertanian akan memasang cip pada ikan asing larangan import bagi membantu mengesan ikan-ikan peliharaan yang dibuang ke perairan umum dan boleh mengancam keselamatan ikan-ikan asli.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata pemasangan cip itu juga boleh mengelakkan pengusaha-pengusaha ikan peliharaan dan individu membuang ikan hiasan peliharaan mereka yang tergolong dalam kategori ikan asing larangan import ke perairan umum.

Tindakan membuang ikan-ikan itu ke perairan umum boleh menyebabkan biodiversiti terganggu dan berpotensi menjadi ancaman kepada ikan asli di perairan negara sekiranya tidak dikawal, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Ikan Asing Larangan Import dan Hasil Penyelidikan Kuda Laut di Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR), di sini hari ini.

Beliau berkata antara jenis ikan yang akan dipasang cip itu ialah Arapaima dan ikan-ikan asing larangan import yang bersifat pemangsa.

“Pemasangan cip pada ikan-ikan itu dapat membantu penyelidik untuk mengesan kedudukan ikan Arapaima contohnya yang bersifat karnivor yang boleh mengancam keselamatan ikan-ikan asli dan orang awam,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.