Nothing To Hide 2.0 Guna Pelajar

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya tiga lagi individu ditahan bagi membantu siasatan insiden kekecohan di forum Nothing To Hide 2.0, petang kelmarin.

Difahamkan, antara yang ditahan adalah seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun. Remaja itu ditahan di rumah keluarganya di Setapak.

Ibu remaja itu yang berusia 51 tahun berkata, beliau berada di dapur dan hanya ada anak perempuannya di ruang tamu rumah ketika anggota polis datang menahan remaja lelaki itu kira-kira jam 7 malam tadi.

Beliau yang ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, berkata ketika kejadian, suaminya belum pulang dari kerja.

“Saya sempat melihat anak saya dibawa keluar dengan kereta dan ada dua lagi remaja yang digari dalam kereta yang datang ke rumah saya.

“Sebenarnya, saya pun tidak tahu anak saya ke program itu kerana dia tidak memaklumkan ke mana dia mahu pergi semalam.

“Cuma anak saya kelihatan seperti berlengah-lengah ketika dijemput kawannya pagi semalam sehingga dimarahi mereka,” katanya kepada pemberita.

Wanita itu berkata, beliau mengesyaki ada pihak tertentu cuba menggunakan pelajar kolej untuk dibawa menghadiri forum berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, ketika dihubungi memaklumkan akan mengadakan sidang media hari ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.