‘Sempat Beri Salam Kepada Yu Paus’ – Penyelidik

DUNGUN: “Saya sempat beri salam ketika ikan yu paus itu mendekati, namun tidak berpeluang menyentuh badannya,” kata Mohd Tarmimi Ali Ahmad, 34.

Pegawai Penyelidik Perikanan di Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Pusat Penyu dan Ekosistem (TUMEC), Rantau Abang itu sempat merakamkan video ‘pertemuannya’ dengan ikan yu paus berkenaan, yang menjadi tular selepas ia dikongsi di laman sosial Facebook miliknya Rabu lalu.

Beliau menjumpai mamalia itu atau nama saintifiknya ‘Rhincodon Typus’ kira-kira jam 5 petang Selasa lalu (8 Ogos) ketika ia sedang bermain dan mencari makanan di tepi Pantai Rantau Abang di sini.

“Saya menerima aduan daripada nelayan sebelum meminta bantuan mereka membawa saya menghampiri ikan yu terbabit yang sedang mencari makanan di tepi pantai yang kebetulan ketika itu terdapat banyak udang baring.

“Ia dianggarkan sepanjang lima meter atau sebesar bot gentian kaca dan sedang makan udang baring yang banyak di tepi pantai itu,” katanya ketika ditemui di Pantai Rantau Abang, di sini, pagi ini.

Beliau berkata, ketika cuba menghampiri ikan yu paus itu, ia melarikan diri kerana takut dengan bunyi enjin bot, lalu mereka mematikan enjin bot sebelum mamalia itu berani menghampiri.

“Selepas mematikan enjin bot ia mula datang lalu saya beri salam kepadanya dan minta ia datang lebih dekat kerana mahu melihatnya.

“Ia akhirnya datang menghampiri dan ketika itu saya sempat merakam videonya lalu saya kongsikan di Facebook,” katanya.

Mohd Tarmimi berkata, ikan yu paus adalah spesies jinak, namun ia boleh bertindak ganas jika rasa terancam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.