21 Peneroka FELDA Lok Heng Selatan Setuju Kembali Jual Hasil Melalui FELDA

KOTA TINGGI – Seramai 21 peneroka FELDA Lok Heng Selatan bersetuju memilih untuk kembali semula kepada FELDA selepas satu perjumpaan dan perbincangan permuafakatan dengan peneroka terlibat diadakan semalam.

Ketua Peneroka FELDA Lok Heng Selatan, Mohammad Bakar berkata, perjumpaan berkenaan melibatkan 32 peneroka yang mengambil alih kebun dan keluar dari FELDA sejak tahun lalu.

Menurutnya, seramai 11 peneroka lagi turut meminta tempoh selama tiga hari untuk berfikir sama ada mahu kembali bersama FELDA atau sebaliknya.

“FELDA ini mempunyai seramai 371 peneroka. Hanya 32 yang tidak bersama FELDA dan mengusahakan sendiri sawit mereka.

“Alhamdulillah seramai 21 peneroka yang tidak bersama FELDA sebelum ini bersetuju untuk kembali menjual hasil sawit mereka melalui FELDA.

“Bagi mereka yang mula menghantar hasil ke FELDA mulai Ogos, akan menerima bayaran insentif RM5,000 pada Februari 2018,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhammad berkata, selain insentif khas yang ditawarkan, turut menjadi faktor peneroka berkenaan memilih untuk kembali semula bersama FELDA adalah disebabkan tarikan terhadap insentif tanaman semula yang ditawarkan kerajaan.

Menurutnya, insentif sebanyak RM7,500 diberikan untuk per hektar tanaman semula pada tahun ini sangat meringankan beban peneroka.

Jelasnya lagi, beliau juga gembira apabila perbincangan itu membuahkan hasil dan dapat membuka hati peneroka berkenaan untuk kembali semula menyertai FELDA.

“Kita amat bersyukur kerana apabila mereka kembali memilih FELDA, ia secara tidak langsung dapat mengekalkan kebersamaan dan kebersatuan peneroka yang ada.

“Sekali gus akan memudahkan pentadbiran kerajaan untuk menguruskan peneroka yang ada. Kita harap mereka ini akan terus istiqamah bersama-sama keluarga besar FELDA,” katanya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai kemenangan sempena Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) yang diterima FELDA Lok Heng Selatan, Mohammad berkata, ganjaran RM1 Juta yang dimenangi akan diagihkan kepada semua peneroka.

Katanya agihan itu akan dilakukan tanpa mengira sama ada peneroka itu bersama FELDA atau tidak.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga FELDA sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA 2017 baru-baru ini termasuklah insentif khas sebanyak RM5,000 kepada mereka yang layak.

Beliau juga mengumumkan bahawa 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan peneroka yang menyaman FELDA akan diberi peluang kembali bersama FELDA.

Tempoh selama enam bulan bermula Ogos diberikan kepada peneroka berkenaan untuk bersama semula dengan FELDA, sebelum layak untuk menerima insentif yang diumumkan bermula Februari 2018. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.