Maafkan Saya: Fatin Nurfatehah

KUALA LUMPUR: Pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mohd Salleh menyifatkan panahan tepat dilakukan pencabar dari Vietnam, Chau Kieu Oanh menjadi penghalang impiannya untuk mara ke final dalam acara compound individu wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), hari ini.

Fatin – pemenang tiga emas di temasya sama dua tahun lalu bagaimanapun tidak mahu menyerah kalah sekali gus tekad bangkit untuk memenangi dua pingat emas dalam acara berpasukan wanita dan campuran selepas ini.

“Pertama kali saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana saya tidak dapat mempertahankan pingat emas acara individu hari ini. Saingan saya di separuh akhir memang agak kuat. Mungkin rezeki saya untuk dapat gangsa saja pada hari ini.

“Tetapi saya ada dua la gi acara iaitu berpasukan dan berpasukan campuran, jadi saya ingin tebus semula selepas ini.

“Memanah ini mempunyai peluang 50-50 dan semuanya terpulang pada hari perlawanan, kalau panahan atlet itu menjadi, maka dia akan menang,” katanya ketika ditemui sejurus memenangi pingat gangsa acara memanah yang berlangsung Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Atlet berusia 26 tahun itu turut memaklumkan keluarganya turut hadir memberikan sokongan di temasya kali ini sekali gus berharap dapat memenangi emas dalam dua lagi acara agar dapat dihadiahkan kepada ibu bapanya yang datang dari Kota Kinabalu, Sabah.

Terdahulu, Fatin gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara compound individu wanita selepas tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Kieu Oanh dari Vietnam dengan keputusan 142-145.

Dia berjaya menebus kekecewaan itu selepas menang ke atas Dellie Threesyadinda dari Indonesia, 143-141 dalam pusingan penentuan tempat ketiga dan keempat, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Sebelum itu, pada aksi kelayakan, Fatin mengumpul 696 mata menerusi 72 panahan sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 695 mata ketika dilakukan di Piala Dunia 2016, Shanghai, China.

Catatan 696 mata itu juga memadam catatan lama 686 mata yang dilakukan oleh Aung Ngeain dari Myanmar sewaktu Sukan SEA 2013.

Pemanah harapan negara itu dijadual beraksi dalam acara berpasukan wanita esok, manakala acara berpasukan campuran bersama pemenang pingat perak compound individu lelaki, Mohd Juwaidi Mazuki berlangsung pada Jumaat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply