MRT Mampu Kurangkan Kos Pengangkutan – Hamzah

KUALA LUMPUR: Sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) mampu mengurangkan kos sara hidup dalam kalangan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata ini kerana MRT terbukti dapat mengurangkan kos pengangkutan pengguna.

“Konsep pengangkutan ini setanding dengan yang ada di luar negara dan pelancong yang berminat untuk sekadar bersiar-siar juga boleh melakukannya dengan mudah menerusi MRT,” katanya semasa program ‘Jom Naik MRT’, Khamis.

Program itu yang bermula dari Stesen Muzium Negara ke Stesen Stadium Kajang dianjurkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Hamzah berkata dalam perjalanannya itu, beliau berpeluang bertemu dengan sebahagian penumpang dengan kebanyakannya memberi maklum balas positif.

“Seorang daripada mereka juga beritahu saya yang dia dapat mengurangkan kos pengangkutan hariannya,” kata Hamzah.

Katanya beberapa pengusaha kedai yang ditemui  beliau di stesen MRT juga menyatakan kemudahan itu meningkatkan perniagaan mereka serta membuka peluang pekerjaan kepada yang lain. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.