Tengku Abdullah Terkilan Penjawat Awam Bersubahat Dalam Perlombongan Bauskit Haram

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa terkilan kerana ada di kalangan kakitangan awam di negeri ini sanggup bersekongkol dengan pihak tertentu melakukan aktiviti perlombongan bauksit secara haram walaupun dalam tempoh moratorium.

Tengku Abdullah bertitah perbuatan itu harus dihentikan dan berharap tangkapan yang dilakukan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 11 individu termasuk 10 kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), dapat dijadikan sebagai satu pengajaran.

“SPRM mempunyai asas dan bukti yang kukuh sebelum bertindak dan saya harap ini dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat secara langsung dan (secara) haram supaya mereka harus mengikut prosedur dan kaedah diperakui oleh kerajaan (dalam menjalankan aktiviti perlombongan).

“Saya juga terkilan ada yang kena tangkap dan didakwa itu merupakan pegawai kerajaan sendiri khususnya PTG. Saya harap ia dapat dihentikan dan jangan buat lagi, ingatlah kepada anak cucu dan keluarga kerana tindakan ini akan beri kesan kepada mereka, ” titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan berangkat ke majlis penyerahan dan penerimaan cek zakat perniagaan daripada lima badan korporat di Istana Abdul Aziz di sini, Khamis. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.