Dia Seperti Mahu Raih Publisiti Murahan

KUALA LUMPUR: Berasakan ia sering kali berlaku, penyanyi, Adira Suhaimi, 26, memilih untuk tidak mengendahkan kontroversi membabitkan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu.

Adira menegaskan, beliau enggan mempedulikan publisiti murahan yang diraih, sebaliknya lebih fokus untuk membesarkan anak perempuannya, Anggrek, yang kini berusia enam bulan.

“Sejujurnya, saya sendiri sudah keliru dengan skandal yang membabitkan suami saya. Malah, saya mengetahui mengenai kontroversi (terbaru) ini pun apabila menerima panggilan bertalu-talu daripada pihak wartawan sendiri.

“Anggap saja isu yang timbul ini sekadar perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan kerana pada saya, dia seperti ingin meraih publisiti murahan. Jika diikutkan, manusia mana yang dengan mudah membuka aib sendiri?

“Oleh itu, saya memilih untuk tidak ambil pusing kontroversi yang timbul ini. Sebaliknya, saya berhasrat untuk menjaga dan membesarkan anak perempuan saya saja,” kata Adira kepada BH Online.

Penyanyi lagu Dewi Cinta ini menjelaskan, kontroversi membabitkan suaminya sering kali terjadi dan ia membuatkan beliau seakan-akan tawar hati untuk mengambil sebarang tindakan.

Sebelum ini, suami Adira membuat kenyataan menjalinkan hubungan cinta bersama artis baharu dikenali sebagai “N”, namun berakhir apabila pelakon wanita kelahiran Sabah itu memberitahu Adira mengenai perkara terbabit.

Adnan juga sebelum ini pernah mencipta kontroversi apabila video dirinya memeluk pelakon, Ruhainies, ketika menaiki tangga bergerak di sebuah pusat beli-belah tersebar. – BERITA HARIAN

Leave a Reply