Pekerja Malaysia Terlantar Di Korea Selatan Rayu Bantuan

KAPAR: Seorang pekerja kilang memohon bantuan bagi membawa pulang adik bongsunya yang kini terlantar sakit di Hospital Gyeonggi Provincial Medical Centre Incheon, Korea Selatan.

Mohammad Haris Hasan, 36, berkata adiknya, Amer, 24, disahkan menghidap penyakit kronik Tuberculous Pneumonia (Tibi) dan bengkak otak hingga menyebabkan beliau tidak mampu bergerak selain turut mengalami masalah hilang ingatan.

Katanya, beliau sekeluarga kini buntu dan tidak tahu cara untuk membawa adiknya pulang ke negara ini memandangkan kos yang tinggi.

“Amer dimasukkan ke hospital itu sejak 9 Ogos lalu kerana demam yang terlalu panas, muntah, sakit kepala serta badan menggigil dan ketika mendapatkan rawatan, dia pengsan tidak sedarkan diri selama dua hari.

“Doktor juga sudah menjalankan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) malah memaklumkan ubat di hospital itu tidak sesuai untuk rakyat Malaysia.

Mohammad Haris,36, memohon bantuan membawa adiknya, Amer, pulang ke Malaysia. – Foto Muhammad Sulaiman

“Adik kini terlantar sakit. Tidak dapat uruskan diri sendiri malah tidak kenal siapa kawan-kawannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rantau Panjang, di sini, malam tadi.

Mohammad Haris berkata, Amer yang juga bekas pelajar kolej swasta, mula berkerja di sebuah kilang besi negara itu sejak Mac lalu bersama dua rakannya.

Katanya, adiknya sanggup ke luar negara untuk bekerja di sana bagi membantu keluarga memandangkan bapa mereka, Hasan Mutalib, 67, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Ketika ini, kebuntuan dan kerisauan kami semakin berganda kerana ibu, Jamaliah Aman, 66, sudah pergi ke sana Isnin lalu seorang diri dan kami dimaklumkan sehingga kelmarin, caj rawatan hospital sudah mencecah RM10,000.

“Ibu risaukan keadaan adik dan mahu menjadi semangat kepada adik. Sebab itu ibu sanggup pergi walaupun tahu kesukaran berkomunikasi, makanan dan tempat tinggal.

“Kami tidak tahu apa perlu kami lakukan dan kepada pihak mana mahu berhubung dan meluahkan masalah ini. Cuma harapan kami, ada pihak yang sudi membantu adik dibawa pulang bagi memudahkan beliau menerima rawatan lanjut,” katanya.

Mohammad Haris berkata, sebelum ini anak bongsu dari empat beradik itu tidak pernah mengalami sebarang penyakit dan mereka sekeluarga yakin penyakit berkenaan berjangkit di tempat kerja.

Sehubungan itu, orang ramai atau pihak berkaitan yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi kakak Amer iaitu Rosnahwati Hasan di talian 011-16991797. – BERITA HARIAN

Leave a Reply