FELDA Masih Giat Kawal Serangan Ulat Bungkus – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam kenyataan hari ini memberitahu FELDA masih giat melakukan kerja-kerja pengawalan serangan ulat bungkus yang melanda kebun FELDA Gugusan Hulu Selangor.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dakwaan FELDA lewat menangani masalah serangan ulat bungkus adalah tidak benar memandangkan tindakan membendung serangan serangga tersebut telah diambil sejak November 2016.

FELDA telah mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut Standard Operating Procedure (SOP), melakukan bancian setiap dua minggu selain turut turun padang bagi memantau serangan ulat bungkus.

“Sejak November 2016 sehingga kini, 2,009.98 hektar kawasan kebun di gugusan ini terjejas akibat serangan ulat bungkus. Serangan di sini adalah berulang akibat kemungkinan faktor-faktor luar jangka seperti bawaan angin, haiwan dan juga kenderaan.

“FELDA telah mengambil tindakan sewajarnya mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau MPOB, termasuklah membuat bancian setiap dua minggu bagi memastikan kawalan adalah efektif dan serangan tidak merebak. Malahan pihak MPOB sendiri telah turun padang untuk memantau kerja-kerja pengawalan yang dilaksanakan oleh FELDA dari semasa ke semasa,” kata Shahrir dalam kenyataan tersebut.

Justeru itu, proses pengawalan serangan ulat bungkus tidak pernah diabaikan oleh pihak FELDA dan telah melakukan teknik suntikan batang bagi pencegahan awal.

Proses pengawalan bagaimanapun dihentikan seketika disebabkan tahap hidup ulat bungkus yang tidak memberikan maklum balas terhadap proses pengawalan yang dijalankan tetapi telah disambung semula pada Julai 2017.

“Sehingga kini, kerja-kerja pengawalan telah dan masih giat dijalankan di kawasan kebun. Bagi pencegahan awal misalnya, kawalan telah dibuat melalui teknik suntikan batang bermula bulan Disember 2016 dan berakhir pada bulan Mei 2017.

“Kawalan dihentikan sementara disebabkan keadaan tahap hidup ulat bungkus yang tidak sesuai bagi kerja-kerja kawalan. Pada bulan Julai 2017, kawalan dimulakan kembali sebaik sahaja tahap hidup ulat bungkus berada di tahap yang aktif dan kawalan masih sedang dibuat sehingga hari ini. Setiap kawalan yang dibuat adalah berdasarkan bancian ulat bungkus yang sesuai dan kerja-kerja adalah sentiasa dipantau oleh pengurusan rancangan,” katanya.

Selain dari melakukan kawalan perosak dan pencegahan awal, FELDA turut menyediakan latihan kepada pertugas dan pihak yang terlibat bagi mengawal serangan ulat bungkus.

“FELDA sentiasa proaktif dalam memastikan keberhasilan kebun peneroka yang baik. Oleh itu, selain kawalan perosak yang dilaksanakan berterusan, FELDA turut menyediakan latihan berkala kepada petugas dan masyarakat setempat berkaitan kawalan ulat bungkus dan juga kawalan bencana yang lain,” tambah Shahrir.

 

 

Leave a Reply