Isu Insuran Ladang Peneroka, Dapatkan Penjelasan Terus Daripada Pengurusan FELDA

KUALA LUMPUR – Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memohon agar peneroka-peneroka mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat daripada pengurusan FELDA sendiri berkaitan isu insuran ladang peneroka yang berbangkit sejak beberapa hari ini.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, isu insuran Ladang itu tidak sepatutnya ditularkan hingga menjadi tidak berasas yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat peneroka.

Beberapa hari lalu, sekumpulan peneroka telah mendakwa Insuran Ladang yang dicarum sejak dahulu lagi tidak wujud.

Ia sekali gus mendakwa mereka telah ditipu oleh FELDA untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi pemulihan tanaman ladang milik peneroka yang diserang ulat bungkus.

Shahrir berkata, Akaun Pemulihan Ladang telah lama diwujudkan sejak tahun 1972 bertujuan memberikan bantuan kepada peneroka dalam soal menangani masalah tanaman yang terjejas oleh beberapa faktor.

“Kebelakangan ini timbul dakwaan oleh sekumpulan peneroka bahawa Insurans Ladang yang mereka carum sekian lama tidak wujud dan ditipu oleh FELDA. Isu ini bermula daripada perjumpaan pengurusan FELDA bersama sekumpulan peneroka dari Gugusan Hulu Selangor, Besout dan Trolak pada 4 Ogos 2017 bagi menangani kes serangan ulat bungkus.

“Sejak tahun 1972, FELDA telah mewujudkan Akaun Pemulihan Ladang yang bertujuan untuk membantu peneroka menangani masalah tanaman yang terjejas akibat bencana alam, serangan penyakit dan perosak yang di luar kawalan peneroka,” kata Shahrir dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Akaun Pemulihan Ladang yang diwujudkan juga telah disebut dalam ‘paysheet’ peneroka-peneroka.

Namun, terma mengenai Insuran Ladang yang digunakan dalam ‘paysheet’ mereka bagi caruman Akaun Pemulihan Ladang telah menimbulkan kekeliruan bagi sesetengah pihak peneroka.

“Tidak dinafikan terma Insurans Ladang yang digunakan di dalam paysheet peneroka bagi caruman Akaun Pemulihan Ladang ini telah menimbulkan kekeliruan kepada segelintir pihak,” katanya.

Kata Shahrir, kadar caruman dan perbelanjaan pemulihan ladang mempunyai rekod khas di bawah akaun tersebut dan diambil kira dalam penyediaan Penyata Kewangan FELDA yang mengikut Piawaian Laporan Kewangan (“FRS”).

Selain itu, nilai perbelanjaan yang dikeluarkan oleh FELDA berbanding caruman oleh peneroka berbeza menyebabkan FELDA menanggung lebihan kos tuntutan caruman untuk melindungi kebun peneroka hampir setiap tahun.

“Kadar caruman yang dikenakan kepada peneroka adalah RM10/ekar setahun dan potongan dibuat secara bulanan.

“Setiap penerimaan bagi caruman dan perbelanjaan yang berkaitan dengan pemulihan ladang mempunyai satu rekod khas di bawah Akaun Pemulihan Ladang. Akaun Pemulihan Ladang ini adalah salah satu akaun yang diambil kira dalam penyediaan Penyata Kewangan FELDA. Penyata Kewangan FELDA adalah mengikut Piawaian Laporan Kewangan (“FRS”) yang diluluskan di Malaysia dan diaudit oleh Juruaudit yang dilantik oleh Jabatan Audit Negara.

“Pada tahun 2016 sahaja, caruman sebanyak RM4.50 juta dikutip daripada peneroka manakala sebanyak RM7.24 juta telah dibelanjakan bagi pemulihan akibat bencana alam, serangan penyakit dan perosak. FELDA telah menanggung lebihan kos tuntutan dari caruman bagi melindungi kepentingan kebun peneroka hampir setiap tahun,” katanya.

Bagaimanapun, FELDA menegaskan akan menyelesaikan masalah kekeliruan insuran ladang setelah mengenal pasti kelemahan yang timbul serta akan mencari penyelesaian terbaik bagi mengelakkan kekeliruan peneroka berterusan.

FELDA juga akan bertanggungjawab terhadap isu ini demi menjaga kesejahteraan peneroka-peneroka.

 

 

 

Leave a Reply