Kertas Siasatan Pembelian Hotel FIC Belum Siap – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiapkan kertas siasatan kes pembelian hotel di Kuching, Sarawak dan di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation (FIC) sebelum mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata pada masa ini, beliau tidak boleh memberitahu bila siasatan itu akan siap.

“Bagi kami masa untuk menyiapkan siasatan pembelian dua hotel itu. Biarlah pegawai saya menjalankan siasatan itu dan buat masa sekarang, tidak ada apa-apa yang perlu didedahkan serta saya tidak boleh beritahu bila siasatan akan siap. Jadi, bersabar dan tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Luar Negeri di sini, hari ini.

Azam diminta mengulas mengenai siasatan kes pembelian hotel itu yang melibatkan penahanan beberapa individu termasuk bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang direman lima hari sejak Rabu lepas bagi membantu siasatan kes pembelian hotel FIC di London di antara 2014 dan 2015.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibeli pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran sehingga mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.