Dua Beranak Maut Dalam Kemalangan

BATU PAHAT: Dua beranak maut setelah terlibat dalam satu kejadian kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer 9, Jalan Kluang, pada jam 8.30 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan berkenaan membabitkan mangsa, Mohd Irwan Shah Mohd Yusop, 36, dan anaknya Nur Shahzanani Munirah, 17, yang menaiki kereta Perodua Myvi maut.

Katanya, daripada siasatan awal pihak polis mendapati kereta berkenaan yang menuju ke arah Batu Pahat itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan di bahagian tengah, sebelum memasuki lorong sebelah kanannya.

“Pada masa yang sama datang sebuah kereta jenis Ford Fiesta dari arah bertentangan merempuh kereta yang dinaiki mangsa, sebelum datang dua buah lagi kenderaan iaitu Honda Civic dan Proton Satria yang melanggar bahagian belakang serta serpihan kereta di hadapan.

“Akibat perlanggaran berkenaan kereta Perodua Myvi itu terbakar dan mengakibatkan kedua-dua mangsa gagal diselamatkan, dan seorang lagi mangsa dalam kereta Ford Fiesta kini dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan parah,” katanya.

Tambahnya lagi, kedua-dua mangsa kini dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk dokumentasi dan proses bedah siasat.

Katanya, kes yang disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini masih dalam siasatan lanjut. – Sinar Harian

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.