Guru Enggan Ke Kawasan Pedalaman

KEBANYAKAN guru pada hari ini didapati lebih gemar memilih untuk mengajar di kawasan bandar berbanding di kawasan pedalaman.

“Dulu, guru sanggup mengajar di mana sahaja termasuk di kawasan luar bandar, tetapi guru sekarang mahu kerja senang, tidak mahu mengajar di kawasan jauh-jauh,” kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt kepada China Press.

Katanya, guru dahulu apabila menerima arahan daripada kerajaan, mereka lebih berdedikasi kerana bersedia bertugas tidak kira dihantar ke kawasan mana.

Shee Fatt berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihati guru baharu belum disahkan dalam jawatan agar tidak memohon bertukar sekolah untuk mengikut pasangan masing-masing.

Bagaimanapun, kata Mahdzir, atas sifat simpati, keutamaan tetap diberikan kepada guru yang lebih lama bertugas dan tinggal berasingan daripada pasangan mereka.

Menurut Shee Fatt, kebanyakan guru yang memohon ditukar adalah disebabkan ingin menjaga ibu bapa yang sakit atau mahu bersama anak di kampung.

“Selain itu, ada yang memohon pertukaran disebabkan mahu bersama suami atau isteri dan tidak kurang juga mahu pulang ke kampung asal kerana mahu jimat wang,” katanya. – Sinar Harian

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.