Jemaah Haji Wukuf Di Arafah

MAKKAH: Lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia mula bergerak ke Arafah untuk melakukan wukuf iaitu kemuncak ibadah haji.

Tahun ini menyaksikan jemaah haji dari Iran kembali ke Mekah selepas gagal melakukan ibadah itu pada 2016 ekoran perbalahan antara Teheran dan Riyadh.

Arab Saudi menggerakkan sumber yang besar termasuk tenaga manusia bagi mengelakkan berulangnya tragedi rempuhan pada 2015 yang mengorbankan hampir 2,300 jemaah termasuk 464 rakyat Iran.

Pihak berkuasa negara itu berkata, ia sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada musim haji kali ini.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Jeneral Mansour Al-Turki, lebih 10,000 anggota keselamatan telah dike­rahkan di berbilang lokasi sepanjang laluan haji.

Selepas menyarungkan ihram, jemaah haji akan berhimpun di Masjidil Haram dan melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah yang dihiasi kain sutera bersulam emas dan ayat suci al-Quran.

Jemaah haji kemudian bergerak ke Mina yang terletak kira-kira lima kilometer ke timur Mekah.

Beratus-ratus ribu jemaah haji akan bermalam di Mina sebelum berangkat pagi ini untuk berwukuf di Arafah.

Seorang perunding perkhidmatan awam dari Benin, Tidjani Traore berkata, dia menunaikan ibadah haji ke-22 pada usia 53 tahun.

“Setiap kali menunaikan haji, saya digamit emosi baharu,” katanya.

Tidak jauh dari Kaabah pula, jemaah haji Mesir, Fatiya Taha tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

Berusia 67 tahun, Fatiya merupakan jemaah haji paling tua dalam kumpulannya.

“Saya menantikan detik ini sejak empat tahun lalu,” katanya. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.