Guru Agama Tinggal Keselesaan Hidup Untuk Sertai Felda

JELEBU – Bergelar guru agama dengan gaji kira-kira RM300 sebulan pada tahun-tahun 70-an boleh dianggap berstatus tinggi dalam masyarakat, namun Hussin Jalani, 72, yakin kedudukan sosioekonominya itu boleh ditambah baik sekiranya menyertai tanah rancangan Felda.

Nekad meninggalkan keselesaan hidup yang dinikmati, Hussin membawa isteri, Normah Abu Bakar, 62 dan dua anak mereka pada masa itu menyertai Felda Lui Timur di sini pada 1979, setahun selepas Felda itu dibuka.

Nyata keputusan Hussin yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hussin adalah keputusan tepat kerana kini beliau meraih pendapatan purata sekitar RM4,000 sebulan menerusi ladang kelapa sawit seluas empat hektar yang diberikan oleh Felda.

“Kalau kita kembali kepada keadaan mula-mula masuk ke tanah rancangan dahulu, setiap mereka yang masuk ke tanah rancangan sudahpun membuat satu pengorbanan iaitu meninggalkan kampung halaman dan orang-orang yang dikasihi dengan matlamat untuk mengubah taraf hidup.

“Memang pada peringkat awal kami masuk suasananya agak daif dengan kami diberi sebuah rumah satu bilik tidur dan satu ruang dapur manakala bilik air di luar rumah hanya berpagarkan kepingan zink,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya semasa beliau menyertai Felda Lui Timur, terdapat 601 peserta pada masa itu.

“Saya sudah 38 tahun menyertai Felda dan sememangnya setiap benda yang baru bermula akan menghadapi kepayahan tetapi secara perlahan-lahan keadaan bertambah baik hasil kerjasama Felda mengolah untuk membangunkan masyarakat dan ekonomi.

“Ini termasuklah keperluan asas seperti sekolah, tadika, masjid dan sebagainya yang dibangunkan secara beransur-ansur dalam tempoh itu hingga ke tahap yang ada sekarang,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Hussin yang juga berperanan sebagai penceramah motivasi, berkata dengan hasil titik peluhnya di Felda, beliau dapat melancong ke 28 buah negara selain memiliki tanah tapak rumah dan ladang.

“Kalaulah saya masih guru agama dulu, paling tinggi pun saya bersara jadi guru besar dan sekarang saya duduk di sini, saya dah ada harta, geran tanah pun dah ambil tahun 2006 kerana sudah mendapat hak milik,” katanya.

Hussin yang juga Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan 2011, berkata beliau kini menikmati kehidupan yang selesa dan tidak gusar dengan masa depan generasi pewaris Felda kerana asas kehidupan telahpun dibina dengan baik oleh generasi pertama.

“Yang nak mengubah nasib kita ini adalah kita, bukan orang lain. Contohnya di sini kita mendapat bantuan hari raya dan bonus tahunan dan bermacam-macam lagi, apa lagi yang kita nak? Dulu di seluruh Felda Lui Timur ini cuma ada tujuh, lapan buah kereta sahaja, motosikal pun dalam 20 buah dan kebanyakan penduduk guna basikal tua.

“Sekarang, setiap rumah ada empat atau lima buah kenderaan dan ada yang saya lihat 12 kereta di rumah seorang peneroka. Saya sendiri ada tiga kereta, apa yang dibuat kerajaan tidak silap, yang silap itu kita,” katanya.

Mengenai enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Peneroka 23 Julai lepas, Hussin berkata secara peribadinya beliau berasa terkejut kerana tidak menjangka sebanyak itu.

“Ada peneroka yang sangka sekadar pemberian wang tunai sahaja tetapi apabila dengar pengumuman itu ada yang tergamam kerana bagi kami RM5,000 yang diberi itu besar maknanya.

“Keduanya apabila dinyatakan hutang akan dihapuskan RM5,000 itupun kita terperanjat juga, kerana bagi yang sudah banyak bayar balik bermakna mereka tiada hutang lagi dan kemudian diumumkan pula bayaran untuk saham FGV (Felda Global Ventures). Jumlah keseluruhan masyarakat peneroka akan dapat adalah RM11,800 dan ini satu angka yang besar bagi kami,” katanya.

Enam insentif yang diumumkan Najib antaranya ialah dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan, insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanaman semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta. – BERNAMA

Leave a Reply