Pelajar OKU Sertai Misi Sukarelawan YSS Ke Laos

PUTRAJAYA – Kekurangan fizikal ternyata bukan penghalang buat seorang pelajar kolej komuniti untuk meneruskan minatnya terhadap aktiviti kesukarelawanan.

Hairul Hasnawi Jamil, 19, pelajar jurusan sistem komputer dan rangkaian di Kolej Komuniti Tanjung Piai, Johor merupakan antara 50 sukarelawan siswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang mengambil bahagian dalam misi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke Laos pada 14 hingga 28 Sept ini.

Anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu mahu membuktikan orang kurang upaya (OKU) seperti dirinya bukan golongan yang lemah dan mampu berbakti kepada masyarakat seperti orang lain.

“Di Laos, saya akan ditempatkan di Kampung Ban Samphanna dan akan mengajar mengenai teknologi maklumat (IT) kepada penduduk setempat,” katanya yang mengalami kecacatan kaki kanan sejak lahir kepada pemberita pada majlis pelepasan kumpulan sukarelawan itu oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, di sini hari ini.

Kumpulan pelajar berkenaan akan bergabung dengan 50 lagi sukarelawan siswa dari Laos yang akan manjalankan aktiviti kesukarelawanan di tiga buah kampung iaitu Ban Samphanna, Ban Paktone dan Ban Thanasa di daerah Sangthong, Vientiane.


Hairul Hasnawi Jamil

Sementara itu, Idris berkata program tahunan anjuran YSS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diharap dapat meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar IPT.

“Melalui pengamatan saya, aktiviti-aktiviti sukarelawan ini semakin mendapat sambutan baik dalam kalangan pelajar IPT,\” katanya.

Seorang lagi sukarelawan YSS, Tham Jia Wei berkata beliau sering menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi mempraktikkan pengetahuannya dalam bidang perubatan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Tham, 24, yang merupakan pelajar perubatan di Perdana University-Royal College of Surgeons di Ireland, berkata beliau akan ditempatkan di Kampung Ban Paktone bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas dan menyampaikan maklumat penjagaan kesihatan.

“Selain membantu penduduk tempatan, saya juga ingin menambah pengetahuan saya terutamanya dalam memahami masalah kesihatan yang dihidapi mereka yang mungkin berlainan daripada penyakit yang ditemui di Malaysia,” katanya.

Pengerusi YSS Datuk Zuraidah Atan berkata Sangthong adalah lokasi keempat di Laos yang dipilih YSS untuk melaksanakan misi kesukarelawanan dengan kali pertama diadakan di Luang Prabang pada tahun 2014, Savannakhet (2015) dan Champasak (2016). – BERNAMA

Leave a Reply