SPNB Akan Mulakan Projek Perintis Gunakan Sistem AGIBS

SHAH ALAM – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan memulakan projek perintis perumahan yang menggabungkan sistem Penyelesaian Bangunan Bersepadu Hijau Ajiya (AGIBS) di dua penempatan Felda di Terengganu menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi SPNB Mesra Sdn Bhd Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata projek pErumahan mampu milik untuk peneroka Felda generasi kedua itu akan dibina di Felda Chalok Barat di Setiu dan Felda Kerteh 6, Kemaman.

“Enam puluh unit akan dibina di Felda Chalok Barat, manakala 90 unit di Felda Kerteh 6,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel latihan yang memberi tumpuan untuk menerima pakai AGIBS di Ajiya Berhad di sini Rabu.

Beliau berkata 150 unit perumahan itu adalah sebahagian daripada 20,000 unit perumahan yang akan dibina untuk peneroka Felda melalui satu memorandum persefahaman yang ditandatangani di antara SPNB dan Ajiya Berhad, sebuah syarikat yang terlibat di dalam pembuatan dan pembekalan bahan pembinaan, pada 14 Julai tahun ini.

Mohamed Hasnan berkata AGIBS adalah satu Sistem Bangunan Berindustri dipatenkan yang menyediakan penyelesaian bangunan penuh bersepadu dan lestari bagi industri pembinaan bagi mengatasi masalah tenaga kerja, memendekkan masa pembinaan dan mengurangkan kos operasi. – BERNAMA

Leave a Reply