Tragedi Sekolah Tahfiz: Pinda Akta Antara Syor Pastikan Keselamatan

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) antara syor berkaitan isu sekolah agama swasta termasuk maahad tahfiz yang akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan pindaan akta itu bagi membolehkan aspek pendaftaran sekolah agama swasta dimasukkan ke dalam akta berkenaan.

Ia juga, katanya, bagi membolehkan kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menyelaras pentadbiran dan memberi bantuan kewangan kepada sekolah terbabit.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, akan bertemu kerajaan negeri bagi memaklumkan syor dan mendapatkan persetujuan pindaan akta itu.

“Ini kerana pengurusan sekolah berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Syor ini juga akan dibawa dan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) petang ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Jika dipersetujui, cadangan ini akan dibentangkan pula pada mesyuarat Kabinet esok. Jika perlu dipinda, ia akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, di sini hari ini.

Katanya, syor lain termasuk memastikan piawaian keselamatan dan kesihatan setiap premis tahfiz serta penghuni, termasuk rumah anak yatim, sekolah agama, TADIKA, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua, dipatuhi.

“Kita juga mengesyorkan supaya penubuhan bomba sukarela di setiap premis terbabit. Begitu juga cadangan kempen kesedaran secara besar-besaran.

“Kempen dicadang dikendalikan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama bomba dan pihak berkuasa tempatan.

“Syor seterusnya, pendaftaran maahad tahfiz diselaraskan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan supaya tidak timbul soal prasangka pengambilan dan pertindihan kuasa antara kedua-dua pihak,” katanya.

Ketika ini, katanya, terdapat 941 maahad tahfiz swasta dan keseluruhan 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia.

“Daripada jumlah itu, yang berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan cuma 612.

“Ini bermakna 321 maahad tahfiz tidak berdaftar atas alasan khuatir kononnya kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan mahu ambil alih (pusat) tahfiz mereka,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Bersifat Kekal bagi memantau pengurusan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok agama di seluruh negara. – BERITA HARIAN

Leave a Reply