Tanpa Muafakat Pasti Tiada FELDA – Shahrir Samad

IPOH – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menegaskan FELDA terbina kukuh pada hari ini kerana nilai asas yang diterapkan sejak dahulu lagi iaitu mengamalkan muafakat sesama masyarakat.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, muafakat telah lama diamalkan dalam FELDA sejak dahulu lagi namun ia telah terlepas pandang kerana menggunakan kaedah lain semasa membangunkan FELDA.

Tanpa muafakat kata Shahrir, FELDA tidak mampu mewujudkan perpaduan, persefahaman dan mengekalkan semangat dalam masyarakat FELDA sendiri.

“Sebenarnya, soal muafakat memang sudah lama ada dalam FELDA. Bila mula saya perkenalkan, hanya kita lupa dan terlepas pandang kepada perkara atau kaedah lain, yang kita terlupa asas kita sebenarnya balik kepada yang asal, “tanpa muafakat pasti tiada FELDA.

“Itu sebenarnya asas kita bagaimana susah payah untuk wujudkan FELDA tanpa muafakat. Kita masyarakat, komuniti tanpa muafakat tidak boleh kekalkan perpaduan, persefahaman dan kekalkan semangat komuniti FELDA itu sendiri,” kata Shahrir ketika berucap merasmikan Seminar Muafakat FELDA Wilayah Trolak 2017 di Institut Tadbiran Islam Malaysia, Ipoh, Perak, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek; Khairil Moin, Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak; Sulung Jamil, Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan dan Ketua Peneroka Wilayah Trolak; dan Andi Muhammad Suryady, Ahli Lembaga Pengarah FELDA dalam FELDA Global Ventures merangkap Ketua Pemuda UMNO Kalabakan.

Perubahan yang ketara dalam perjalanan membangunkan FELDA sejak 60 tahun yang lalu jika tidak diterapkan dengan nilai muafakat akan rosak meski pun telah banyak usaha dilakukan.

Shahrir menambah, dengan keadaan sekarang di mana FELDA dijadikan satu organisasi yang dicemuh dan difitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, muafakat adalah sangat penting untuk mengekalkan kedudukan FELDA yang gah di mata masyarakat.

“Kita berdepan dengan satu keadaan yang baik pun, FELDA dituduh dan diperkata macam-macam untuk memerangkap peneroka.

“Kalau orang mengata macam-macam mengenai FELDA, jika kita semua berpakat dan kita bermuafakat dengan pengurusan ia memberi jaminan FELDA akan tetap berada di tempat yang tegap dan mantap,” katanya.

Justeru itu, Shahrir mahukan semua peneroka agar terus bermuafakat dan terus menyokong FELDA demi masa depan anak-anak FELDA.

 

 

Leave a Reply