Gembleng Tenaga Atasi Isu Air

JOHOR BAHRU: Masalah air adalah isu merentasi sempadan dan negara tidak boleh berlagak sombong, sebaliknya perlu menggembleng semua sumber serta tenaga berdepan isu terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid, berkata pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pihak luar mungkin boleh membantu, selain berkongsi maklumat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya air adalah isu yang harus ditangani dengan mengetepikan ideologi politik dan sebarang fahaman lain.

“Ini kerana isu air adalah isu kemanusiaan dan kemandirian. Jadi, sebarang kepercayaan dan pendirian harus ditolak ke tepi apabila bercakap mengenai isu air.

“Ia (isu air) tidak seharusnya dipolitikkan dan tidak seharusnya dijadikan isu yang hanya boleh dibincangkan sesetengah pihak saja,” katanya berucap merasmikan Water Leaders Forum, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Forum itu membabitkan 11 pembentangan kertas kerja termasuk pakar dari Korea, Jepun, Indonesia dan Singapura.

Mohamed Khaled berkata, isu air bukan saja menuntut kecekapan strategi dan pengurusan yang berkesan tetapi ia memerlukan teknologi terkini.

“Saya yakin dan percaya penyelesaian kepada banyak isu air terletak kepada ilmu sains termasuk dalam usaha mencari sumber baharu, rawatan air atau dalam mencari kaedah terbaik pengagihan bekalannya. Segalanya terletak dan berbalik kepada ilmu sains,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.