PAC: Pantau Pembinaan 8 Hospital, Elak Projek ‘Sakit’

JOHOR BAHRU: Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan perlu memantau pembinaan lapan hospital baharu di seluruh negara bagi memastikan tiada lagi projek hospital ‘sakit’ berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin, berkata pihaknya tidak mahu hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan perubatan terbaik kepada rakyat terbantut berikutan kegagalan pemilihan kontraktor yang baik sehingga memberikan imej buruk kepada kerajaan.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan kerajaan terutama Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan memastikan hanya kontraktor yang layak daripada segi pengalaman, teknikal dan kewangan yang dibenarkan mengemukakan tender pembinaan hospital di seluruh negara.

“Pra kelayakan tender kontraktor untuk membina hospital amat perlu dalam memastikan tiada lagi projek hospital yang mengalami masalah daripada segi kelewatan pembinaan serta ‘sakit’ apabila digunakan oleh masyarakat.

“Selain itu, kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya perlu mengambil tindakan serius terhadap perunding yang terbabit dalam pembinaan hospital sekiranya projek berkenaan mengalami masalah terutama lewat siap dengan menyenaraihitamnya,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, di sini, hari ini.

Mengenai lawatan itu, Hasan berkata, walaupun projek itu menghadapi sedikit masalah daripada segi kelewatan, pihaknya berpuas hati dengan langkah penambahbaikan yang diambil Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya dengan memastikan kemudahan yang disediakan dalam projek naik taraf dapat digunakan dan beroperasi sepenuhnya demi manfaat pesakit HSNI.

Lawatan itu diadakan bagi PAC melihat sendiri projek menaik taraf HSNI yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 3. Kos keseluruhan projek naik taraf HSNI yang bernilai RM200.7 juta itu bermula pada tahun 2008 dan diserahkan kepada KKM pada 2012. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.