Pesta Makanan Dan Minuman Jerman Tetap Diteruskan

SHAH ALAM: Pesta Makanan dan Minuman Jerman anjuran Centro Mall akan diteruskan berdasarkan kepada kelulusan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum ini.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, keputusan itu dibuat memandangkan pesta sama sudah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut tanpa sebarang isu yang dicetuskan seperti kali ini.

“Sudah enam tahun dan tiada masalah, ini bukan kali pertama. Sebelum ini, permohonan, kelulusan dan pesta berjalan lancar malah ada pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal keselamatan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, walaupun polis ada mengeluarkan arahan pembatalan, penganjur tetap berpendirian untuk meneruskan acara berkenaan.

“Pendirian penganjur ialah akan teruskan (Pesta Makanan dan Minuman Jerman), sebab saya difahamkan mereka sudah memperoleh surat kebenaran permit sementara dari MPK bertarikh 28 September lalu, berserta 20 syarat dan bayaran RM400.

“Tetapi bayaran itu belum dijelaskan kerana MPK menangguhkannya berikutan kenyataan polis menarik balik sokongan permohonan berkenaan.

“Saya minta polis jangan menarik balik surat mengeluarkan surat sokongan supaya pihak penganjur dapat meneruskan proses seterusnya iaitu membuat bayaran,” katanya.

Beliau berkata, polis seharusnya bertindak bebas daripada sebarang gangguan pihak politik.

“Polis Klang Utara kata terpaksa menarik balik kerana mendapat arahan dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri tetapi selepas itu, beliau (Ahmad Zahid) pula kata ini isu teknikal dan operasi, kena tanya polis.

“Polis dalam keadaan keliru dan ulasan mereka tidak boleh dipercayai serta tidak meyakinkan. Apabila dia tidak dapat bertindak dengan profesional, bagaimana kita boleh terima ulasan mereka,” katanya.

Chang Khim berkata, tiada isu ketenteraman awam kerana umat Islam tidak dibenarkan menyertai pesta itu, selain ia dianjurkan secara tertutup.

Sementara itu, sebaik selesai sidang media, Chang Khim menunjukkan surat pembatalan kebenaran mengadakan pesta berkenaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang bertarikh 29 September dan diterima hari ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada ia bermaksud surat pembatalan sokongan, Chang Khim berkata, surat itu hanya membatalkan alamat penyampaian semata-mata. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.