RISDA Mohon RM22 Juta Untuk Program Tanam Semula Getah

RAUB: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan memohon peruntukan tambahan sebanyak RM22 juta untuk melaksanakan Program Tanam Semula Getah seluas 3,400 hektar di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tambahan itu perlu berikutan sambutan luar jangka daripada pekebun kecil untuk melaksanakan program itu sekali gus membantu menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, setakat ini, RISDA sudah membelanjakan RM144.7 juta bagi program berkenaan yang juga sebahagian daripada peruntukan program pembangunan RISDA yang keseluruhannya berjumlah RM358.8 juta untuk sepanjang tahun ini.

“Di Pahang sahaja, RISDA sudah membelanjakan RM31.8 juta membabitkan seramai 64,386 pekebun kecil bagi Program Tanam Semula Getah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat RISDA daerah Raub, di sini, hari ini.

Pejabat RISDA Daerah Raub mula dibina semula pada tahun 2012 menelan kos RM4.4 juta dan sudah beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2013 dengan kekuatan 56 kakitangan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, Ketua Setiausaha kementarian itu, Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Ismail Sabri berkata, RISDA juga sudah meluluskan 380 permohonan Rumah Bina Negara daripada 2,089 permohonan dengan 18 unit rumah bagi tujuan itu sudah siap dibina.

“Kita mahu pekebun kecil yang tidak ada rumah mendapat rumah yang selesa…kerajaan beri subsidi sebanyak RM20,000 daripada RM65,000 harga seunit Rumah Bina Negara supaya mereka dapat diami kediaman tiga bilik dan dua bilik air,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sedang bankrap adalah tidak benar kerana RISDA sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan secara berterusan kepada pekebun kecil kerana agensi itu turut memperuntukkan bayaran untuk program tuisyen rakyat kepada anak-anak mereka.

“Di Pahang sahaja, kita agihkan RM212,500 untuk bantu 315 pelajar dan kita dapati program ini berkesan membantu meningkatkan pencapaian prestasi akademik mereka. RISDA turut menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada pekebun kecil termasuk baja, benih dan bantuan tanam semula setiap tahun,” katanya.

Fakta nombor

13 pejabat RISDA negeri

54 pejabat daerah

154 pejabat stesen di kampung yang mempunyai ramai pekebun kecil bagi memudahkan urusan penyampaian bantuan dan khidmat nasihat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.