Dua Diburu Kes Klorin Bocor

MELAKA: Polis sedang memburu dua individu bagi membantu siasatan kes kebocoran klorin yang mengakibatkan lebih 50 penduduk di Kampung Tambak Paya, di sini, mengalami sesak nafas, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata suspek berusia 25 dan 40 tahun itu diminta segera menyerahkan diri di balai polis berhampiran, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

“Terdahulu enam suspek yang berusia 25 hingga 35 tahun sudah ditahan, termasuk tiga daripadanya yang sebelum ini menyamar sebagai antara mangsa terawal mengalami sesak nafas di tempat kejadian.

“Suspek awal disiasat dalam empat pertuduhan mengikut Seksyen A117 Kanun Prosedur Jenayah; Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974; Seksyen 284 Kanun Keseksaan dan Seksyen 82 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah anjuran polis negeri, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan Bumiputra Rockers (BPR) di Hard Rock Cafe Melaka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MGBM, Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengurus BPR, Mohamad Ashari Shahrom.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, indeks jenayah negeri ini terus mencatatkan penurunan sebanyak 15.2 peratus atau 2,252 kes yang direkodkan dari 1 Januari hingga semalam, berbanding 2,657 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Bagi indeks jenayah kekerasan, sebanyak 651 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 2 Oktober, menurun 15.1 peratus, berbanding 767 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Bagi indeks jenayah harta benda pula, sebanyak 1,601 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 2 Oktober, menurun 15.3 peratus berbanding 1,890 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.