Remaja Hilang Ditemui Lemas

SEBUYAU:  Seorang remaja lelaki yang hilang selepas menyelam melepaskan jala yang tersangkut di dasar sungai di Kampung Plaie Baruh, di sini, Sabtu lalu, ditemui mati, hari ini.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Sangam, 16, ditemui kira-kira jam 12 tengah hari tadi di lokasi kira-kira 100 meter dia dikatakan menyelam tiga hari lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa sudah dituntut keluarganya selepas pengecaman dibuat.

“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan oleh bomba bersama polis dan penduduk kampung selepas menerima maklumat kejadian itu Sabtu lalu.

ANGGOTA bomba ketika operasi mencari mangsa.

“Pasukan penyelamat menggunakan bot yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam ke lokasi yang terletak 67 kilometer dari jeti Sebuyau,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu, mangsa dikatakan menjala ikan di sungai berkenaan bersama dua rakannya.

Jala mangsa tiba-tiba tersangkut menyebabkan mangsa nekad menyelam untuk melepaskannya manakala dua rakan menunggu di dalam perahu.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit menyelam, mangsa terus tidak timbul dan dua rakannya berusaha mencarinya namun gagal.

Mereka kemudiannya bergegas balik memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.