51 Pembeli ‘Banglo Murah’ Tuntut Hak

LANGKAWI: Seramai 51 pembeli banglo dengan harga dari serendah RM40,000 yang ditawarkan sebuah syarikat tampil berhimpun menuntut agar wang mereka dikembalikan.

Mereka mendakwa kerugian antara RM30,000 hingga RM100,000 apabila syarikat berkenaan yang dikatakan milik seorang pelakon berpangkat Datuk gagal membina rumah yang dijanjikan.

Antara mangsa, Nazri Ali, 51, berkata pada peringkat awal beliau dan 50 individu lain terpengaruh dengan janji manis wakil syarikat itu yang membuat promosi secara besar-besaran melalui poster, taklimat dan iklan dalam media sosial.

“Malah, kami lebih teruja dan menganggap ia projek kerajaan apabila dalam poster yang ditampal di merata tempat di pulau ini dan viral dalam laman sosial turut mencatatkan nama ahli politik tempatan yang berpengaruh.

“Ketika itu, kami tidak tahu ramai pembeli di negeri lain termasuk Selangor, Sabah dan Perlis yang marah kerana ada masalah dengan syarikat berkenaan,” katanya ditemui selepas membawa wartawan meninjau tapak kosong di Jalan Padang Gaung di sini.

Nazri yang juga seorang peniaga berkata, dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila wakil atau pengurusan syarikat itu sukar dihubungi dan memberi pelbagai alasan termasuk hanya akan membina rumah selepas bayaran penuh dilunaskan.

“Mereka hanya menyiapkan sebuah rumah contoh dan menggunakannya untuk mengaburi mata pembeli keupayaan mereka menyiapkan rumah dalam tempoh tiga bulan.

“Kami rugi besar, …malah paling sedih ada yang menggunakan duit ganjaran pencen sebagai pegawai kerajaan dan simpanan puluhan tahun untuk membuat bayaran kepada syarikat itu dengan harapan dapat memiliki rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Soleha Othman, 54, berkata dia rasa tertipu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat itu.

“Bukan setakat 188 pembeli yang buat laporan polis mengalami nasib malang akibat ditipu, malah saya yakin lebih 500 mangsa termasuk yang belum membuat laporan polis terbabit dalam kes ini.

“Sebelum ini saya sendiri adalah seorang yang amat berhati-hati untuk melabur, tapi dalam kes ini saya juga menjadi antara mangsa …jadi sedih, geram dan kecewa sangat dengan tindakan syarikat terbabit.

“Harapan selepas ini adalah semoga ada kaedah terbaik untuk kami dapatkan semula duit yang telah dibayar kepada JKGR,” katanya.

Mereka tampil berhimpun susulan tindakan polis menahan tiga suspek utama berkaitan kes penipuan jualan rumah bernilai RM6.2 juta, semalam.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah membabitkan dua syarikat terbabit. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.