Insentif Hari Peneroka 2017 Dan Kesan Kepada Peneroka

23 Julai 2017 yang lalu merupakan hari yang gembira buat peneroka-peneroka FELDA di negara ini. Ini kerana, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan enam insentif sewaktu himpunan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya.

Ini disambut baik oleh para peneroka kerana kesenangan dan kemudahan telah banyak diberikan kepada mereka sejak dahulu lagi. Benarlah kata pepatah, bersusah-susah dahulu, bersenang kemudian. Dan kini, adalah detik buat peneroka-peneroka merasai kesenangan hidup yang selama ini mereka tetap berusaha menunggu hasil yang dituai.

Berikut adalah enam insentif yang diumumkan oleh Najib dan kesan-kesan kepada peneroka-peneroka FELDA.

Bayaran Insentif Khas Peneroka
Najib mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga FELDA sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak menerimanya. Pembayaran insentif telah pun dibuat mulai minggu ke-4 bulan Ogos 2017 secara terus ke akaun peneroka atau bayaran secara tunai. Jumlah keseluruhan insentif yang diterima oleh semua peneroka ini adalah sebanyak RM474.78 juta.

Pelupusan Hutang Tanam Semula
Insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka (28,839 peneroka). Jumlah pelupusan hutang tanam semula ini yang memilih untuk tanam semula melalui FELDA melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.

Dana Khas Pelupusan Lebihan Hutang Tanam Semula
Seramai 2,850 peneroka di 12 tanah rancangan pemulihan akan diselaraskan baki hutang pembangunan mulai September 2017. Ini bermakna, pelarasan yang sama akan dibuat berdasarkan permohonan dari peneroka-peneroka yang terlibat. Dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

Geran Khas Tanam Semula Peneroka (2017-2020)
Geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020.

Pelupusan Sebahagian Baki Pinjaman Saham FGV
Seramai 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman saham FGV akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit. Bagi 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, mereka akan menerima ganjaran tunai sebanyak RM1,820.

Kelulusan Lebih Satu Unit Dalam Satu Tapak
Kelulusan membina lebih satu unit rumah di dalam satu tapak di mana generasi baharu boleh berkongsi rumah dengan peneroka. Ini membolehkan lebih dari 70,000 Generasi Kedua berpeluang untuk mempunyai rumah mereka sendiri.

Leave a Reply