JDT Bawa Import Baharu Musim Depan

JOHOR BAHRU: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membawa masuk sekurang-kurang seorang atau dua lagi pemain import bagi memperkuat pasukan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia dan saingan Piala AFC pada musim 2018.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, selain pemain import, sekurang-kurang tiga atau empat pemain tempatan bakal dibawa masuk bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan nanti.

Ketika ini, skuad Harimau Selatan diperkuat oleh empat pemain import – Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera, Mohamad Ghaddar dan Marcos Antonio yang terpaksa diketepikan untuk seketika selepas mengalami kecederaan.

“Pemain import yang saya akan bawa masuk sama ada seorang atau dua pemain manakala pemain tempatan mungkin tiga atau empat pemain,”kata Tunku Ismail.

“Untuk Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ramai akan dibawa masuk kerana beberapa pemain dari JDT III akan ke pasukan itu. Saya juga ingin menegaskan tiada lagi wujud ‘feeder club’.

“Siapa yang pandai-pandai menyatakan `feeder club’, pandai saja FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) kerana kalau kita tengok di Manchester United, Barcelona FC, Real Madrid mana ada ‘feeder club’.

“Ia sepatutnya `Development Club’ (Kelab Pembangunan) kerana tidak bersyarat dan kami boleh ambil mana-mana pemain muda untuk beraksi bersama JDT kerana kedua-dua pasukan di bawah kelab yang sama.”

Tunku Ismail juga memaklumkan pelantikan baharu, Martin Hugo Prest sebagai Pengarah Sukan bagi melapor perkembangan mengenai pasukan JDT manakala Luciano Figueroa yang pernah dilantik memegang jawatan berkenaan kini dilantik sebagai Duta kelab.

Beliau juga mengesahkan Presiden kelab masih dipegang oleh Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Alistair Edwards selaku Pengarah Teknikal JDT.

Yayasan JDT dipengerusikan oleh Datuk Azmi Rohani yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) masih dipegang oleh Datuk Ismail Karim.

Tunku Ismail turut mengulas berhubung perbelanjaan dari tahun 2013 hingga 2017 yang mencecah RM300 juta, membabitkan pembangunan bola sepak terutama pembinaan padang latihan di JDT II, JDT II dan JDT IV.

“Untuk musim 2018, saya nak setiap tahun JDT ada bajet RM120 juta hingga RM160 juta setiap tahun, kerana penyelenggaraan tinggi dan juga pembinaan Akademi JDT di Kulai yang akan menjadi fokus utama dalam usaha meningkatkan lagi program akar umbi,” kata Tunku Ismail. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.