KKLW Sedia Beri Kerjasama Kepada SPRM

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM100 juta untuk penganjuran program kebajikan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya bersedia menyerahkan segala maklumat yang diperlukan SPRM berhubung siasatan kes berkenaan.

“Saya difahamkan, ia membabitkan kes lama, bagaimanapun, walaupun ia kes lama, tetapi mungkin fail berkaitan ada di kementerian ini. Jika SPRM memerlukan fail atau lain-lain perkara kita akan serahkan.

“Apa saja yang diperlukan SPRM kita akan serahkan,” katanya pada sidang media ketika ditemui di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan SPRM membekukan sembilan akaun bank bernilai RM151 juta bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM100 juta daripada peruntukan penganjuran program kebajikan rakyat.

Difahamkan, penyelewengan itu didapati berlaku membabitkan kira-kira 10 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah beberapa tahun lalu.

Terdahulu, Ismail Sabri menyampaikan kutipan berjumlah RM230,043 hasil sumbangan peribadinya, kakitangan, agensi serta jabatan di bawah kementerian berkenaan kepada kepada waris dan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang terbabit dalam tragedi kebakaran pada 14 September lalu sehingga meragut 23 nyawa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata program pemeriksaan pendawaian elektrik secara percuma kepada pusat tahfiz di seluruh negara anjuran GiatMara dijangka dapat dilaksanakan selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai melakukan pemeriksaan keselamatan yang dijangka sebelum akhir bulan ini.

“Sebelum ini kabinet sudah mengarahkan pihak bomba untuk membuat pemeriksaan keselamatan keseluruhan di setiap pusat tahfiz termasuk pintu, tangga, laluan masuk.

“Jadi kita tunggu hasil siasatan dan pegawai GiatMara bersedia pada bila-bila masa untuk membuat pendawaian elektrik semula sekiranya terdapat keperluan di pusat tahfiz yang berkenaan berdasarkan laporan yang dikeluarkan JBPM.

“Saya difahamkan ada lagi kementerian lain yang bersedia bersama-sama untuk membuat pendawaian semula sekiranya diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, Kabinet mengarahkan JBPM untuk menjalankan siasatan terhadap semua pusat tahfiz di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian Pusaf Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berulang selain memastikan semua pusat tahfiz mematuhi piawaian yang telah digariskan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.