Kisah silam yang menyedihkan mahu dilupakan dan dijadikan sebagai satu pengalaman hidup yang amat berharga.

Saodah yang lebih mesra de­ngan panggilan Odah kini memberi fokus sepenuhnya terhadap kehidupan sekarang dan ingin menikmati kebahagiaan sama seperti orang lain.

“Bukan hendak menidakkan sejarah atau melupakan kena­ngan pahit waktu silam, tetapi saya mahu menjadikannya sebagai satu motivasi untuk terus mencapai kejayaan dan berkongsi dengan orang lain,” luah Odah ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Tenggaroh 2, dekat sini, baru-baru ini.

Kini ibu kepada empat anak berusia antara 30 hingga 34 tahun ini bersyukur kepada Allah SWT kerana menikmati kehidupan bahagia berikutan menjadi peneroka berjaya dengan menjalankan perniagaan nurseri yang mendapat pasaran luas di sekitar Mer­sing dan Kota Tinggi.

Menceritakan kisah silam sebelum menyertai Felda, Odah yang berhijrah pada 1987 dari Pontian mengakui kehidupan mereka sebelum ini memang agak susah.

“Saya dan suami yang berasal dari Batu Pahat terpaksa bekerja keras sebagai buruh ladang de­ngan gaji masing-masing RM200 sebulan.

“Cuba bayangkan dengan RM400 sebulan untuk menyara empat anak yang masih kecil dan ada yang bersekolah, jumlah itu memang terlalu kecil dan meme­ritkan. Maka saya bercucuk ta­nam di sekeliling rumah dengan tanaman cili api, nangka, sukun, serai, limau kasturi, ubi, pisang, keladi dan bermacam-macam bagi menambah sumber maka­nan di samping dijual kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Pada 1991, Odah turut nekad bekerja di kilang di Pasir Gudang dengan membawa hasil tanaman untuk dijual kepada rakan-rakan sekerja dan ternyata usaha gigihnya berjaya menambah pendapatan keluarga.

Namun, menyedari tanggungjawab terhadap keluarga yang perlu diutamakan setelah hampir setiap hari keluar rumah awal pagi dan pulang malam, Odah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Justeru, pada akhir 1994, nenek kepada lapan cucu ini mengambil keputusan untuk mengusahakan nurseri secara kecil-kecilan di atas sebidang tanah kosong di kawasan Felda tersebut.

“Usaha gigih dan tidak me­nge­nal putus asa akhirnya membuatkan nurseri kami mendapat sambutan daripada penduduk apatah lagi pihak pengurusan Felda menggalakkan para peneroka menceriakan dan mengindahkan kawasan kampung terutamanya pekarangan rumah sendiri.

“Nurseri kami kini yang dita­nam 40 jenis pokok landskap termasuk pokok renik dan rendang serta buah-buahan, bukan sahaja mendapat permintaan yang menggalakkan di kawasan Felda berhampiran, malah sehingga ke Pulau Tinggi, Sibu dan Pulau Aur serta bandar Mersing, Endau dan Kota Tinggi,” katanya.

Odah memberitahu, antara po­kok buah-buahan yang mendapat sambutan hangat ialah durian Musang King, nangka madu serta tanah baja organik.

Menyedari kawasan persekitaran yang amat sesuai sebagai habitat kelulut, mereka turut me­ngusahakan ternakan itu dengan menyediakan 40 buah log (rumah kelulut) bagi menghasilkan madu.

Odah kini juga menjadi pembekal madu kelulut asli, koloni kelulut serta pelbagai produk hiliran.

“Berikutan usia menginjak war­ga emas, kami turut mendapat bantuan daripada ahli keluar­ga terutamanya anak dan menantu, Norlina Abdul Karim dan Mohd. Mahat Tumiran bagi meneruskan perniagaan ini.

“Sebenarnya, kejayaan yang kami kecapi turut mendapat sokongan dan khidmat nasihat daripada pihak pengurusan Felda, Jabatan Pertanian serta agensi berkaitan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE