Datuk Pecah Botol Minuman Keras Ditahan

SHAH ALAM: Seorang pemimpin kanan Gabungan NGO-NGO Malaysia bergelar Datuk dan tujuh yang lain ditahan di Sekinchan awal pagi tadi, susulan tindakan memecahkan botol minuman keras di pintu pagar utama bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

“Pada 6 Oktober kira-kira jam 1.45 pagi, lapan individu ditahan di Sekinchan, Sabak Bernam.

“Perintah reman akan dikemukakan di Mahkamah Shah Alam, pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Fadzil berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi semalam, sekumpulan lelaki 25 orang diketuai seorang Datuk mengadakan sidang media membantah penganjuran ‘The Better Beer Festival 2017’ di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Katanya, kumpulan itu turut membawa kira-kira 10 kotak berisi bir dan memecahkan semua botol berkenaan menggunakan sebatang penukul simen di hadapan pintu pagar utama bangunan itu sebagai simbolik bantahan penganjuran pesta berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.