Pernah popular dengan lagu Bertakhta Di Hati, Farahdhiya ketika dihubungi Utusan Online bagaimanapun memberitahu, dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika itu pemuda berkenaan yang merupakan finalis Hero Remaja 2017 sedang berlakon dengan saya bagi memenuhi salah satu tugasan yang diberikan kepadanya.

“Dalam salah satu adegan, dia telah mencengkam kedua-dua lengan saya lantas meninggalkan sedikit kesan lebam,” ujarnya memberi penjelasan.

Menurut finalis Gegar Vaganza musim kedua itu, dia tidak marah terhadap pemuda tersebut, Ezmir Sadriq, 19, kerana percaya finalis berkenaan sedang teruja di samping kesungguhannya menghayati watak yang dibawa.

“Sebagai seorang pelakon, insiden seperti itu adalah perkara kecil yang perlu dihadapi apabila berada dalam set penggambaran. Lagipun dia masih baharu dalam dunia lakonan dan sedang mempelajari teknik lakonan,” tambahnya.

Sementara itu, Ezmir adalah salah seorang peserta Hero Remaja 2017 yang berasal dari Miri, Sarawak serta penuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti swasta tempatan. – UTUSAN ONLINE