MyRumah 2017 Sedia Platform Terbaik

KUALA LUMPUR: Konsep Pameran, Pendidikan dan Hiburan menjadi tulang belakang ekspo MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP).

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata NSTP sebagai penganjur utama MyRumah akan bergerak mengikut tiga konsep berkenaan bagi menyediakan liputan terbaik kepada pemaju pempamer.

Menerusi MyRumah, katanya, pemaju berkenaan diberi platform untuk meningkatkan kesedaran dan publisiti projek perumahan masing-masing.

“Pengunjung dan pembeli berpotensi bukan saja mendapat peluang melihat pelbagai model dan reka bentuk rumah, malah boleh boleh melihat kemudahan ditawarkan berdekatan kawasan dimahukan.

“Mereka boleh mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai skim kewangan ditawarkan oleh bank.

“Ia akan membantu mereka memenuhi impian membeli rumah mengikut bajet sesuai,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran MyRumah 2017 edisi keempat yang disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K N Jayaselan dan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Abdul Jalil berkata, elemen paling ketara dalam penganjuran MyRumah ialah pendidikan mengenai perumahan yang diketengahkan dalam forum khas sepanjang penganjuran MyRumah 2017.

“Seramai 19 pakar perumahan akan berkongsi pengetahuan menarik membabitkan isu hartanah, undang-undang, cukai, strategi sewaan, reka bentuk dalaman dan tips serta strategi dan peluang melabur dalam pasaran hartanah.

“Elemen hiburan dapat dilihat dalam pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna dan sesi permainan dianjurkan khas oleh MyRumah,” katanya.

MyRumah siri keempat berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara, di sini selama tiga hari bermula hari ini.

Ia dibuka secara percuma bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Tiga siri MyRumah yang diadakan sebelum ini di Bangsar, Johor Bahru dan Alor Setar menarik hampir 15,000 pengunjung dengan 67 unit hartanah terjual bernilai RM30 juta. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.