Piala Malaysia: Danial Tekad Julang FELDA United

CHERAS: Selepas berjaya mencipta nama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), pemain tengah skuad bawah 22 tahun negara, Muhammad Danial Amier Norhisham kini bertekad membantu FELDA United mara ke final dan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali tahun ini.

Pemain berasal dari Hulu Langat, Selangor itu dan kini menetap di AU3 Keramat, Kuala Lumpur melaungkan amaran awal bahawa FELDA United mampu menumpaskan Kedah dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 Oktober nanti.

PEMAIN tengah skuad bawah 22 tahun negara, Muhammad Danial Amier Norhisham (kiri) tekad membantu FELDA United mara ke final. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagi Danial misi berkenaan bukan satu perkara mustahil kerana FELDA United pernah menewaskan skuad Kedah 3-1 dalam perlawanan Liga Super di stadium sama, baru-baru ini.

“Kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada kami untuk menewaskan Kedah sekali lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam bagi meraikan atlet KL2017 berasal dari Hulu Langat yang mengharumkan nama negara di sini, malam tadi.

“In Shaa Allah kami mampu menang jika semua pemain FELDA United bermain bermati-matian untuk mara ke final dan menjuarai Piala Malaysia yang sudah lama menjadi idaman.”

DANIAL Amier (tengah) bergambar bersama ibu bapa, Norhisham Burham (kiri) dan Norida Ismail pada majlis penghargaan atlet Sukan SEA KL2017 di Restoran Terra Pong, Batu 18, Hulu Langat, semalam.

Pada majlis itu, Danial dan pemenang pingat emas acara atlet luncur ais berganti-ganti 3,000 meter, Khairil Ridhwan Khalil, menerima sumbangan wang tunai dan cendera hati yang disampaikan oleh Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Iruan Zulkifli bersama Ketua Pemuda Umno Hulu Langat, Mohd Halim Wahab.

Ditanya mengenai masa depannya, Danial menegaskan dia tetap akan kekal bersama FELDA United selagi khidmat dan tenaganya diperlukan oleh kelab terbabit.

Walaupun hampir menggantung but selepas pasukan lamanya, Frenz United dibubarkan dan tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif selama lapan bulan, dia mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden FELDA United tahun ini.

Peluang itu digunakan sebaiknya dan Danial berjaya memikat hati pengendali skuad B-22 Datuk Ong Kim Swee untuk mengharungi Kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok dan temasya Sukan SEA 2017, Ogos lalu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply