5 Beradik Penghuni Rumah Uzur Diserah Kepada JKM

KOTA BHARU: Lima beradik berusia sembilan bulan hingga 11 tahun yang tinggal di sebuah rumah uzur di Kampung Paloh Pintu Geng, di sini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

Mereka diserahkan kepada JKM pada jam 10.30 pagi tadi untuk perlindungan berikutan usia yang masih kecil, tidak sesuai tinggal di rumah sangat uzur dan dipenuhi timbunan sampah, selain pakaian tidak dibasuh.

Ibu lima beradik itu pula diserahkan kepada polis untuk pemeriksaan, termasuk saringan ujian air kencing.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup, berkata lima beradik berkenaan akan ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak JKM di Pengkalan Chepa.

Kisah Faridah Yakob, 34, bersama anaknya, Mohd Fakriz Ikhwan Shamsuddin, 11; Nur Syazira Ariana, 10; Nur Damia Qristina, 9; Mohd Adam Qayyum Patola, 6, dan Mohd Adam Danial berusia sembilan bulan, mendapat perhatian apabila tinggal di rumah uzur itu sejak lima tahun lalu.

Tiga anaknya, berusia 9, 10 dan 11 tahun tidak bersekolah dengan alasan mereka tiada sijil lahir yang didakwa disimpan bekas suaminya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.