Kenderaan Perdagangan Guna Tayar Celup

TAIPING: Penggunaan tayar celup yang sudah haus pada kenderaan perdagangan adalah antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Bersepadu dan Terancang Kenderaan Perdagangan Lebuhraya Zon Utara 3, Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman, malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 10 malam di Kilometer 225 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang arah selatan itu, lapan kenderaan perdagangan disaman selepas didapati menggunakan tayar berkenaan.

Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali, berkata 120 kenderaan perdagangan membabitkan 80 lori dan 40 bas diperiksa sebelum dua kes tayar celup dan enam kes penggunaan tayar haus dikesan.

Katanya, sejumlah 76 saman dikeluarkan pihaknya manakala pihaknya manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 16 saman.

“Operasi kali ini lebih tertumpu kepada kenderaan perdagangan yang menggunakan tayar celup dan berbahaya hingga menyebabkan nahas yang berpunca daripada serpihan tayar kenderaan pecah serta bertaburan di lebuh raya.

HAZIL Redza (dua dari kanan) memantau anggota Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan dalam sebuah bas ekpres. – Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 20 hingga 46 tahun membabitkan warga Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Nepal dan Indonesia turut ditahan berikutan tiada dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.

Hazil Reza berkata, dua lelaki dipercayai pemandu dan kelindan lori berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas ujian air kencing yang dijalankan positif dadah jenis methampetamine.

Operasi dijalankan lapan pegawai dan 66 anggota membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.