PR1MA Mulakan Empat Lagi Projek Rumah Di Johor

ISKANDAR PUTERI – Perbadanan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan memulakan empat projek baharu di Johor melibatkan 3,616 rumah, sebagai tambahan kepada projek sedia ada di sini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias.

Beliau berkata projek itu akan dibina di Larkin Indah, Taman Pelangi Indah, Nusa Damai dan Kota Tinggi.

PR1MA Larkin Indah, terdiri daripada 1,174 unit apartmen dan kemudahan lain seperti klinik, gimnasium, tadika, dewan serbaguna, taman asuhan kanak-kanak, taman permainan, kedai dan surau manakala PR1MA @ Kota Tinggi akan dibina 625 rumah teres, Taman Pelangi Indah dan Nusa Damai pula akan dibina kediaman bertingkat.

Kesemua projek dibuka untuk tempahan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Selaras dengan komitmen PR1MA untuk menyediakan rumah dengan konsep gaya hidup dan masyarakat untuk golongan pembeli daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40), adanya projek ini akan menangani permintaan tinggi terhadap rumah berkualiti dengan harga berpatutan di negeri ini,” tambahnya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.