“Biarpun Sudah Jadi Jenazah, Bawalah Shyzlin Pulang”

JOHOR BAHRU: “Kalau boleh, saya nak tunaikan permintaan arwah isteri untuk bawa balik Shyzlin ke tanah air, walau dalam bentuk jenazah sekalipun,” kata saudara Shyzlin Hathaman selepas mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipenjara dan terkandas di Lima, Peru sejak lapan tahun lalu itu, disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Shyzlin, 43, bekas keldai dadah sindiket pengedaran antarabangsa, meninggal dunia pagi tadi waktu Malaysia kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Dia yang dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu, berasal dari Johor, menghidap beberapa penyakit termasuk asma dan kencing manis.

Shaan Shah Mohd Nasir, 48, iaitu suami kepada sepupu Shyzlin, Norabdah Mahmood, terkejut apabila dihubungi Kedutaan Malaysia di Peru yang memaklumkan kematian wanita itu.

Katanya, sepupu Shyzlin, Norabdah Mahmood, meninggal dunia pada 23 September lalu dan ketika hayatnya arwah bersama ibu saudara Shyzlin, Jamilah Yusof, yang turut meninggal dunia sehari sebelumnya, sentiasa membantu Shyzlin, termasuk menyalurkan wang perbelanjaan dan cuba membawanya pulang ke Malaysia.

“Pihak kedutaan memaklumkan bahawa Shyzlin meninggal dunia ketika dirawat di hospital. Saya minta pihak kedutaan berusaha mencari cara untuk membawa pulang jenazahnya,” katanya.

Shaan Shah berkata, sebenarnya Shyzlin dibebaskan daripada hukuman pada Mei lalu tetapi proses membawanya pulang tergendala kerana dia menghadapi masalah kesihatan yang serius.

“Arwah (Norabdah) memang nak jaga Shyzlin, arwah selalu bagi duit belanja. Harapan kami, kalau boleh bawalah balik Shyzlin untuk dikebumikan di Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, usaha bagi menghubungi ibu saudara Syzlin, Robiah Abdullah, 68, yang tinggal di Jalan Kenari, Larkin Jaya dekat sini, tidak berhasil apabila dia tiada di rumah.

Kematiannya juga dimaklumkan Kedutaan Malaysia di Peru kepada Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, yang juga Ahli Parlimen Lenggong hari ini.

Pihak kedutaan memaklumkan bahawa Shyzlin meninggal dunia pada jam 6.50 petang waktu Peru pada 7 Oktober 2017, iaitu jam 7.50 pagi tadi waktu Malaysia.

BH pada November tahun lalu menyiarkan laporan eksklusif dari Peru, mengenai rayuan Syzlin dan dua lagi rakyat Malaysia, Nor Suzanna Azmi dan seorang wanita bernama Azimah, yang merayu ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.

Shyzlin pernah merengkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah sebelum ditempatkan di sebuah gereja negara itu, yang menjadi tempat tinggalnya kerana kesihatan terjejas.

Dalam temu bual berkenaan, Shyzlin menitiskan air mata sambil memohon individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa menghulurkan bantuan supaya dia dapat menemui semula keluarga yang lama terpisah.

Susulan temu bual itu, BH berjaya mengesan keluarga Shyzlin yang kemudian bersetuju untuk menerima wanita itu selepas dia dibebaskan daripada hukuman. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.