Saloma Link Bermula Hujung Tahun

KUALA LUMPUR: Pembinaan jambatan bagi pejalan kaki di sini yang diberi nama Saloma Link yang akan menghubungkan ibu negara dengan Kampung Baru dijadual dimulakan pada penghujung tahun ini.

Pembinaan dijangka siap dalam masa satu setengah tahun dengan kos permulaan RM20 juta diperuntukan bagi projek itu.

“Ini bukan jambatan biasa. Ia akan menjadi ikon pembangunan Kuala Lumpur. Saya yakin projek ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Kampung Baru,” kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Affendi Zahari.

Saloma Link sepanjang 68 meter akan menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran Stesen LRT Kampung Baru dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh daripada Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Affendi berkata, seni bina mengagumkan itu akan merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Ia akan dihiasi sistem pencahayaan canggih yang akan menonjolkan keunikan jambatan ini pada waktu malam, sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia.

“Darinya kita boleh melihat Menara Berkembar tanpa sebarang halangan, sesuai untuk pelancong mengambil gambar. Jajaran laluannya menepati sudut terbaik untuk menampakkan bangunan ikon negara KLCC,” katanya.

Beliau berkata, konsep seni binanya akan menyamai ‘Sirih Junjung’.

“Pembinaan Saloma Link termasuk dalam rancangan pembangunan RM43 bilion Kampung Baru dalam tempoh 20 tahun,” katanya. – BERNAMA

Jambatan bagi pejalan kaki di sini yang diberi nama Saloma Link yang akan menghubungkan ibu negara dengan Kampung Baru dijadual dimulakan pada penghujung tahun ini. – Foto http://theveritasdesigngroup.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.