Semuanya Ada Di Muzium FELDA Lurah Bilut

FELDA Lurah Bilut adalah tanah rancangan pertama yang dibuka di negara ini pada tahun 1958 untuk membantu kehidupan rakyat menjadi lebih baik. Menguruskan tanaman getah adalah usaha pertama yang dimulakan di FELDA Lurah Bilut.

Siapa sangka, tanah rancangan FELDA Lurah Bilut mempunyai sebuah muzium yang menceritakan pelbagai kisah dan sejarah tentang penubuhan FELDA. Ia telah dirasmikan pada 22 September 2005 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Tapak asal muzium ini adalah Pejabat Pentadbiran FELDA diawal penubuhan tanah rancangan ini dan berkonsepkan rumah Melayu tradisional. Uniknya, konsep tradisional itu masih lagi dikekalkan hingga kini.

Menjejakkan kaki masuk ke dalam muzium bersejarah ini, menerbitkan rasa yang pelbagai seolah-olah memberikan gambaran dan perasaan bagaimana peneroka-peneroka pada suatu ketika dahulu membanting tulang mengembangkan FELDA hingga terkenal pada hari ini.

Setiap sudut dalam muzium ini memaparkan kisah-kisah peneroka dan tanah rancangan dengan paparan alat-alatan menoreh, membina rumah, membela haiwan seperti lembu dan kambing, dan pelbagai lagi perubahan mengikut peredaran tahun.

Bukan itu sahaja, kronologi tentang pembukaan FELDA Lurah Bilut juga diceritakan kepada pengunjung agar menjadi rujukan bagaimana tertubuhnya FELDA ini.

Tertubuhnya muzium ini pastinya sedikit-sebanyak akan memberikan gambaran dan pengalaman buat generasi baharu dan akan datang bagaimana warga FELDA terdahulu berusaha membangunkan FELDA.

FELDA Lurah Bilut adalah bukti perkembangan FELDA yang maju sejak dahulu dan berjaya mencapai sasaran kejayaan yang disasarkan oleh kerajaan. Kini, sudah banyak kesenangan dan kemudahan yang dikecapi oleh warga FELDA. Benarlah kata Tun Abdul Razak, FELDA is the best land for the best people!

Berikut adalah sedikit perkongsian di Muzium FELDA Lurah Bilut:

 

Leave a Reply