Dakwaan Rafizi Mengenai Grand Plaza Serviced Apartment Tidak Benar – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) hari ini mengeluarkan kenyataan dakwaan Anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli bersabit isu pembelian dan penjualan Grand Plaza Serviced Apartment di London adalah tidak benar.

Rafizi pada 10 Oktober dan 11 Oktober telah membuat sidang media mengenai isu ini dan mendakwa FELDA telah membiayai pembelian hotel tersebut melalui pinjaman KWSP dan akan mengalami kerugian sebanyak RM38 juta akibat dari penjualan Grand Plaza Serviced Apartment.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata dalam kenyataannya kepada media sebentar tadi menjelaskan KWSP telah meluluskan pinjaman berjaminan kerajaan kepada FELDA sebanyak RM6.5 bilion pada Disember 2009 bertujuan hanya untuk program tanam semula peneroka.

Malah katanya, pembelian hotel tersebut adalah melalui hasil penyenaraian FGV pada tahun 2012 dan menggunakan dana dalaman FELDA (FELDA Internal funds) dan tidak menanggung sebarang kos faedah.

FELDA telah membayar semula pinjaman dari KWSP itu (prinsipal dan keuntungan) mengikut jadual yang telah ditetapkan dan dijangka selesai membayar pada tahun 2023.

“Tujuan utama pinjaman ini adalah untuk membiayai keperluan program tanam semula peneroka FELDA dan keperluan FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) bagi melaksanakan aktiviti pelaburan. Pada masa itu, FGV merupakan sebuah syarikat subsidiary milik penuh FELDA,” kata Shahrir.

Bersabit isu penjualan semula hotel di London itu, ia merupakan inisiatif penyusunan semula aset-aset FELDA yang tidak berkaitan dengan operasi teras FELDA.

Shahrir yakin penjualan Grand Plaza Serviced Apartment tersebut adalah untuk memberi impak positif dari segi kewangan FELDA iaitu menjamin pendapatan yang tinggi kepada peneroka selain dari mengembalikan FELDA seperti dahulu, ‘balik asal’.

“Saya yakin bahawa penjualan hotel ini adalah sejajar dengan hala tuju FELDA untuk ‘balik asal’ dan akan memberi impak yang positif kepada kewangan FELDA.

“Selain itu, ini dapat membantu FELDA untuk fokus kepada pengurusan ladang peneroka bagi memastikan pendapatan peneroka yang tinggi sekaligus memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka terbela,” katanya lagi.

Terdapat 54 pihak sehingga kini telah menyuarakan minat untuk membeli hotel tersebut.

Dalam sidang media tersebut, Rafizi telah menyertakan dokumen sebagai bukti-butik mengenai dakwaanya.

Bagaimanapun, dokumen rujukan yang dilampirkan dan ditunjuk oleh Rafizi itu adalah tidak berasas dan tidak benar.

Ia termasuklah mengenai dakwaan tidak berasas dibuat olehnya berkaitan perbelanjaan misteri operasi hotel di London itu sebanyak RM 80 juta.

“….komponen utama administrative expenses FIC Grand Plaza Ltd yang dirujuk oleh Rafizi adalah bayaran kadar pajakan tahunan. Kadar pajakan ini merupakan bayaran sewaan yang perlu dibuat oleh FIC Grand Plaza Ltd yang merupakan syarikat yang menguruskan perniagaan bagi pihak syarikat induk, FIC UK Properties Sdn Bhd. Ini jelas dinyatakan di dalam Details Income Statement yang merupakan sebahagian dari penyata kewangan FIC Grand Plaza Ltd,” katanya.

Dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Rafizi ini sekali gus menunjukkan ahli parlimen itu sebenarnya tidak memahami fungsi FELDA, kata Shahrir.

“Rafizi tidak sedar FELDA sebuah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangannya sendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi dari kerajaan persekutuan (sejak 1996). Ini bermakna perjalanan operasi FELDA tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahupun peneroka.

“Komitmen FELDA adalah sebagai agensi kerajaan bagi memastikan kesejahteraan peneroka dan aktiviti tanam semula dilaksanakan mengikut perancangan,” terang Shahrir.

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply